
Pelakon veteran Mano Maniam yang dikenali menerusi watak Uncle Chan dalam siri televisyen Kopitiam dilaporkan meninggal dunia pada usia 79 tahun.
Perkara itu disahkan oleh adik lelakinya, Madi Maniam ketika dihubungi Bernama.
“Pemergiannya disebabkan faktor usia dan berlaku secara semula jadi. Namun, butiran lanjut masih belum dimuktamadkan bersama pihak keluarga. Majlis pengebumian dijangka diadakan pada Isnin ini di Bliss Gardens, Shah Alam,” katanya.
Mano atau nama sebenarnya Manomaniam dilahirkan pada 15 November 1945 dan mula bergiat dalam dunia seni sejak 1965.
Beliau bukan sahaja aktif sebagai pelakon, malah turut terlibat sebagai pengarah, penulis, jurulatih lakonan dan pelakon suara.
Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, mendiang pernah membintangi beberapa naskhah antarabangsa seperti Anna and the King serta siri terbitan Netflix, Marco Polo.

Di peringkat tempatan, beliau aktif membintangi pelbagai drama berbahasa Inggeris dan Tamil serta turut menyumbangkan suara bagi watak Tok Din dalam siri animasi Kampung Boy (versi Bahasa Inggeris).
Selain itu, beliau pernah membintangi filem seperti Mat Gelap, Kolumpo, Hikayat Merong Mahawangsa dan Rentap.
Menerusi lakonannya dalam filem Mat Gelap, bakatnya diiktiraf apabila dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-9.
Mendiang juga dikenali sebagai seorang pendidik seni yang aktif memberikan tunjuk ajar dalam bidang lakonan, khususnya kepada warga emas, di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC).
Menurut Madi, Mano Maniam sepatutnya menerima satu anugerah khas malam ini di HGH Convention Hall, Sentul sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada masyarakat India dan pembangunan seni persembahan negara.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI