
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merakamkan penghargaan kepada Pusat Tuisyen PTTI atas sumbangan tajaan sebanyak RM100,000 kepada kawasan Parlimen Muar.
Menurut Syed Saddiq, dana ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu pelajar kurang berkemampuan mengikuti kelas tambahan menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
“Saya kena ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Cikgu Farhana dan pasukan PTTI atas sumbangan yang sangat besar.
“Pendidikan memang merupakan keutamaan anak-anak kita dan bukan semua ada kesempatan atau kemampuan untuk mendapat akses kepada kelas tuisyen yang berkualiti.
“PTTI sendiri telah membuktikan rekod prestasi yang sangat baik, malah antara terbaik dalam mendidik anak-anak untuk mencapai keputusan cemerlang,” katanya kepada MH.
Syed Saddiq berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Roadtour Skor A+ SPM PTTI yang berlangsung di IDCC Shah Alam, pada Rabu lalu.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menyatakan kerjasama sebegini sangat penting untuk memastikan akses pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang pelajar.
“Bukan semua ibu bapa mampu menghantar anak ke kelas tuisyen fizikal, lebih-lebih lagi jika tinggal di kawasan pedalaman seperti Sungai Balang yang jauh dari pusat bandar.
“Inisiatif pendidikan dalam talian dan bantuan seperti ini amat penting untuk anak-anak kita ‘catch up’ dan mengurangkan jurang pendidikan,” katanya lagi.
Semangat, Ilmu & Motivasi
Sementara itu, menerusi Majlis Roadtour Skor A+ SPM PTTI, menyaksikan kehadiran hampir 4,000 calon SPM dari seluruh negara.
Program ini direka khas untuk membakar semangat para pelajar dengan bimbingan secara bersemuka daripada Pakar SPM PTTI.
Kehadiran Syed Saddiq dan penyanyi serta pelakon Bella Astillah turut mencuri tumpuan apabila mereka berkongsi kata-kata motivasi dan kisah peribadi sebagai inspirasi buat para pelajar.
Program tersebut berlangsung dengan meriah dan penuh semangat.
Antara personaliti lain yang turut memberikan sokongan termasuklah MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah, Asyraf Khalid dan ramai lagi.
Sekaligus, ia menjadikan acara ini bukan sahaja sebagai medan ilmu, malah sebuah pengalaman berharga bagi semua yang hadir.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI