
Pelakon Datuk Remy Ishak tampil berkongsi pandangannya mengenai budaya bercakap buruk tentang individu lain, termasuk golongan selebriti, yang disifatkannya sebagai sesuatu yang tidak sihat.
Menurut Remy, setiap manusia mempunyai karakter dan emosi tersendiri.
Justeru, orang ramai tidak wajar untuk terlalu cepat melabel seseorang hanya berdasarkan situasi tertentu.

“Pada saya, selain kisah selebriti, bercerita buruk mengenai orang lain juga merupakan perbuatan yang tidak baik. Perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.
“Namun, bila isu ini telah dibentangkan dan dibincangkan di situ, kebetulan pula ada yang terkena dengan layanan artis pada waktu itu. Berjangkit pula dengan kisah orang lain yang pernah lalui situasi sama.
“Mungkin pada ketika itu, mood seorang artis itu tidak okay. Kisah itu pula diiyakan oleh ramai orang. Isu itu jadi besar,” katanya kepada MH.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata demikian ketika ditemui sewaktu mempromosikan filem terbaharunya, Khadam, di pejabat Nu Ideaktiv, Shah Alam pada Selasa.
Terdahulu, filem Khadam bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun ini.
Artis Juga Manusia Biasa, Jelas Remy
Tambahnya lagi, dia memahami ada ketika seseorang artis itu mungkin berada dalam keadaan emosi tidak stabil atau berdepan tekanan tertentu sehingga layanan yang diberikan disalah tafsir oleh segelintir pihak.

“Pada saya, selebriti ini merupakan manusia juga. Mereka juga ada rasa sedih, marah atau mood swing. Timing pula tak cantik dan ada orang datang menegur. Jadi, bila isu itu diperbesarkan, saya rasa tak bagus.
“Hal ini sangat sensitif. Saya rasa orang biasa juga ada sikap sebegitu. Pada saya, topik yang menceritakan mengenai karakter orang lain, rasanya tidak perlu.
“Manusia ini dilahirkan dengan sangat unik. Setiap daripada kita ada karakter dan ragam masing-masing. Golongan artis ini menjadi perhatian kerana tindak tanduk mereka dilihat.
“Seronok untuk dijadikan bahan bualan. Kalau cakap fasal artis, semua orang kenal. Kalau cakap fasal jiran sebelah rumah, orang tak tahu sangat. Itu jadi tak best,” kongsinya lagi.
Seru Henti Budaya Mengata
Dalam pada itu, Remy turut menyeru orang ramai agar menghentikan budaya bercakap mengenai keburukan individu lain dan sebaliknya memberi fokus kepada perkara yang lebih bermanfaat.
Anda mungkin berminat dengan

“Berhentilah bercakap fasal orang. Lebih baik kita bercerita fasal idea. Kita nak melangkah maju ke hadapan,” akhirinya.
Sejak kebelakangan ini, isu mengenai segelintir artis yang didakwa bersikap sombong atau kurang mesra di tempat umum hangat diperkatakan netizen di media sosial.
Malah, nama Remy sendiri turut terkena tempias apabila ada netizen melabel dirinya sebagai sombong dan berkongsi pandangan tersebut di media sosial.
Susulan insiden berkenaan, Remy difahamkan telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana merasakan hantaran tersebut dibuat bagi mencalarkan reputasinya sebagai anak seni.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

