Li Si Xuan, yang pernah memenangi pertandingan ratu cantik di Shenzhen, didapati telah memalsukan kelayakan akademiknya untuk melanjutkan pengajian di Universiti Hong Kong (HKU).

Si Xuan, yang memohon untuk memasuki HKU pada tahun 2021, mendakwa bahawa beliau telah menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang linguistik dari Universiti Columbia, New York.

Bagi menyokong dakwaannya, beliau turut menyediakan dokumen dan sijil yang diperlukan untuk permohonan kemasukan ke universiti tersebut. Berdasarkan rekod, Si Xuan berjaya diterima masuk ke HKU dan memulakan pengajian di program Sarjana Linguistik Gunaan.

Namun, siasatan lanjut dijalankan oleh HKU pada tahun 2024 setelah menerima aduan mengenai pelajar yang menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan kemasukan ke universiti tersebut.

Hasil siasatan mendapati Si Xuan bukan sahaja memalsukan ijazah sarjana mudanya, tetapi turut mengubah keputusan kelulusannya dari ‘lulus’ kepada ‘distinction’.  Sijil yang diberikan juga mengandungi maklumat palsu mengenai tarikh tamat pengajian yang sepatutnya berlangsung pada 11 Jun, tetapi diubah kepada 12 Jun.

Ads

Ratu Cantik Dipenjara 240 Hari Gara-Gara Memalsukan Ijazah

BACA JUGA: Akibat Bercinta Dengan Suami Orang, Pemenang Pertandingan Ratu Cantik Serah Semula Mahkota

Pihak HKU cuba mengaturkan pertemuan dengan Si Xuan pada bulan Jun tahun lalu, namun beliau menolak untuk bersemuka. Akhirnya, statusnya sebagai pelajar HKU dibatalkan dan laporan dibuat kepada pihak berkuasa. Si Xuan ditahan pada keesokan harinya.

Ads

Dalam soal siasat, Si Xuan mengaku bahawa beliau sebenarnya tidak menamatkan pengajian di Universiti Columbia, sebaliknya membayar 380,000 yuan (RM255,000) kepada sebuah agensi yang dikenali sebagai ‘Academic Emperor’.

Agensi tersebut menguruskan agar beliau mengikuti kursus dalam talian yang dikendalikan oleh Universiti Columbia dan kemudiannya memberitahunya bahawa beliau telah “lulus” dan “bergraduasi”.

Ads

Menghadapi tuduhan memalsukan dokumen untuk kemasukan ke HKU dan memalsukan keputusan dalam sijil graduasi Sarjananya, Si Xuan mengakui bahawa tindakan penipuannya dilakukan dengan bantuan agensi luar yang telah menguruskan segala urusan akademiknya.

Pada 8 Mei, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 240 hari terhadap Si Xuan, dengan pengurangan hukuman daripada 300 hari kepada 240 hari sebagai menghargai pengakuan bersalahnya. 40 hari daripada hukuman tersebut akan dilaksanakan secara berasingan daripada baki 200 hari.

Peguam bela Si Xuan turut memohon kelonggaran kepada mahkamah, dengan alasan bahawa anak guam mereka “sangat tertekan” berikutan kes ini. Mereka turut menambah bahawa tiada bukti yang menunjukkan Si Xuan menggunakan dokumen palsu tersebut untuk keuntungan haram.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI