
Perasaan Biduanita Negara, Siti Nurhaliza bercampur baur apabila melihat pelbagai gelagat peminat yang sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan tiket konsert tradisional Gema Bumantara yang dijadual berlangsung pada 17 Oktober depan.
Menurut Siti, ada dalam kalangan peminat yang sanggup berbelanja sehingga ribuan ringgit, malah mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepanjang tempoh jualan awal tiket.
Katanya, kesungguhan yang ditunjukkan para peminat itu menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk memberikan persembahan terbaik pada malam konsert nanti.

“Saya rasa sangat terharu. Rasa nak menangis dan kelakar pun ada. Ramai juga yang merakam telatah mereka ketika membeli tiket konsert.
“Saya sempat tengok di Threads, ada yang begitu yakin tetapi akhirnya terlepas juga peluang mendapatkan tiket. Jadi, bila lihat perkara itu, memang mendebarkan.
“Saya rasa sangat terharu kerana peminat-peminat saya tidak pernah berhenti membeirkan sokongan.
“Bila melihat kesungguhan mereka yang sanggup menyimpan wang untuk membeli tiket, saya merasakan yang saya tidak boleh menghampakan mereka,” katanya kepada MH.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Cuckoo Dream Fund yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur pada Selasa.
Gema Bumantara Jadi Sumbangan Buat Negara, Jualan Tiket Terus Memberangsangkan
Dalam pada itu, Siti menyifatkan penganjuran konsert Gema Bumantara bukan sekadar hadiah istimewa buat para peminat, malah menjadi usahanya untuk mengangkat lagu tradisional serta budaya Malaysia menerusi sebuah persembahan berskala mega.

“Sebenarnya saya boleh katakan, penganjuran konsert ini juga sumbangan saya untuk negara dan mahu tunjukkan bahawa kita mampu melakukan persembahan berskala mega walaupun dengan hanya menyanyikan lagu tradisional.
“Insya-Allah, harap Tourism Malaysia juga boleh turut berbangga dengan usaha yang saya lakukan. Ini bukan hasil kerja saya seorang tetapi melibatkan ramai pekerja,” katanya lagi.
Mengulas mengenai perkembangan jualan tiket, penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu memaklumkan tiket jualan awal (pre-sale) telah terjual melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan dan tempoh jualan eksklusif itu akan berlangsung selama tiga hari sebelum dibuka kepada orang ramai bermula 2 Julai ini.

Anda mungkin berminat dengan
“Sekarang ini masih dalam tempoh jualan awal yang hanya dibuka untuk pemegang akaun Affin iaitu selama tiga hari sebelum dibuka kepada orang awam pada 2 Julai depan.
“Sekarang ini jualan awal masing berjalan dan saya dimaklumkan sudah lebih separuh tiket terjual,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Siti turut berkolaborasi dengan penyanyi tempatan yang mencipta nama di China, Firdhaus menerusi lagu berbahasa Mandarin berjudul Be Like Water.
Lagu tersebut turut dipilih sebagai lagu tema bagi kempen CSR Cuckoo Dream Fund, manakala video muzik rasmi Be Like Water telah dilancarkan semalam di platform YouTube.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

