
A Aida
Penerbit terkenal, Datuk A. Aida mahu anaknya yang juga penyanyi, Azeva Natassha, memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjaya terlebih dahulu sebelum memikirkan soal jodoh.
Menurut A. Aida, bukan mudah untuk membina nama dalam industri seni. Justeru, dia tidak mahu perjalanan seni Azeva terjejas hanya kerana dikaitkan dengan gosip murahan.
“Memang ramai yang cuba mendekati Azeva ini. Namun, buat masa ini, saya mahu dia fokus pada kerjaya dahulu. Sejak TTMM lagi, saya berusaha dan sanggup berhabis wang ringgit untuk menaikkan nama Azeva.
“Nak bergelar seorang artis ini bukan mudah. Ada yang sudah 10 atau 20 tahun tapi masih ditahap yang sama. Nak jadi popular dan mencipta nama itu bukan senang.
“Bila namanya sudah ‘mendunia’, tiba-tiba ada yang nak digosipkan bersama Azeva. Saya tidak akan benarkan perkara itu berlaku,” katanya kepada MH.
A. Aida berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Big Stage Rocketfuel, baru-baru, Ahad lalu.
Baca Artikel Lain;
Dalam masa sama, penerbit drama Sekali Lagi Cinta Kembali itu mengakui ramai pihak, termasuk golongan artis, cuba mendekatinya semata-mata untuk berkenalan dengan Azeva.
Bagaimanapun, A. Aida melihat situasi itu seolah-olah ada pihak yang mahu mengambil kesempatan terhadap populariti dan perhatian yang sedang diraih anaknya ketika ini.
“Di Instagram dan Tik Tok, terlalu ramai yang hantar mesej dan panggil saya mama termasuklah artis-artis kita juga. Sebab itulah saya keluarkan kenyataan di Threads.
“Ketika ini, nama Azeva semakin dapat perhatian. Ramai yang mahukan khidmatnya dan peluang yang datang. Jadi, kenapa nak di sia-siakan peluang ini.
“Nama tengah mendunia, tiba-tiba nak kahwin pula. Kalau nak kahwin, hantaran RM10 juta, saya terima dan boleh dipertimbangkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, A. Aida menegaskan dia tidak pernah mengongkong kehidupan anaknya. Sebaliknya, segala yang dilakukan adalah bagi memastikan Azeva mendapat penjagaan dan sokongan terbaik sejak kecil.
“Saya tak pernah kongkong anak. Sejak kecil saya menjaganya dengan baik dan penuh kasih sayang. Saya bagi mandian susu untuk dia dapat hasil secantik ini. Siapa kata saya kongkong, saya tak kisah.
“Nak jadi secantik ini, saya berhabis banyak. Bukan mudah nak mendekati puteri saya ini.
“Jika ada yang nak mendekati Azeva pada masa hadapan, setidaknya saya nak orang itu boleh bagi lebih lagi daripada apa yang saya berikan,” kongsinya.
Tambahnya lagi, dia sentiasa mengingatkan Azeva agar tidak terburu-buru dalam soal jodoh. Sebaliknya, dia berharap anaknya memanfaatkan peluang yang ada untuk mengukuhkan kerjaya, mengumpul pengalaman dan membina kestabilan kewangan.
“Saya selalu berpesan kepada Azeva, dia fasa ini, berkawan sahajalah dahulu. Fokus dahulu pada kerjaya. Ketika nama menjadi pilihan ini, gunalah peluang yang ada untuk kumpul pengalaman dan harta.
“Bila kita sudah ada banyak duit, kita boleh memilih siapa yang kita mahu. Sama seperti kisah saya dahulu. Kita mahu mencari seseorang yang boleh buat kita gembira dan memahami.
“Kita kena cari seseorang yang ada kerjaya dan kewangan yang kukuh. Mula-mula memang kita fikir fasal cinta, lama-lama derita,” akhirinya.