Pelakon dan usahawan, Wawa Zainal tidak menafikan ada beberapa pelakon wanita memilih untuk menolak tawaran untuk berlakon filem pertama di bawah produksi penerbitannya, Respected Citizen Production Sdn Bhd berjudul Sabda Kekasih.

Menurut Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa  Zainal Abidin,30, dia tidak terkilan memandangkan produksinya masih lagi baru selain tawaran yang diberikan adalah sebagai heroin kedua.

“Dari segi pemilihan watak, kami ada berbincang memandangkan karektor utama di dalam filem ini pun hanya ada lima sahaja iaitu saya dan Aeril, selain Fauziah Nawi, Sabri Yunus serta watak Hayla Sofia. 

“Cuma, untuk watak Hayla Sofia itu yang pening juga nak cari. Kami ada tawarkan kepada beberapa pelakon tapi tak pastilah mungkin ada yang sibuk dan sebagainya.

“Mungkin juga sebab produksi kami masih baharu, tak kenal dengan produksi ini. Bukan sebab bayaran. Tambahan pula, kena jadi ‘second heroin’ di sisi saya, memang mereka tak nak lah kan? Tapi tidak mengapa, mungkin ada hikmah,” katanya.

Wawa dan Aeril bagaimanapun bersyukur kerana pemilihan bintang baru, Sharifah Husna membawakan watak Hayla Sofia dilihat sebagai pilihan tepat.

“Saya dan Aeril, okay saja. Tapi, memang agak mencabar. Kami menghubungi ramai artis perempuan ketika itu.

“Tapi, sebab ini cerita kami, kalau memang tak ada siapa nak, kami sudah sedia dengan ‘pelan B’ misalnya tukar sikit watak.

“Apabila ramai menolak, Aeril cari lagi dan jumpa Instagram Sharifah Husna. Dia tunjuk dan saya terus cakap okay dan cantik orangnya.

“Walaupun masih lagi baru, tapi dia bagus. Lebih-lebih lagi, watak Hayla Sofia dipaparkan sebagai wanita yang baru balik dari menyambung pengajian di Mesir,” katanya.

Berkongsi mengenai cabaran melakonkan watak air mata sebagai Kasih Murni, Wawa bertuah kerana setiap pelakon saling menyokong termasuk suaminya.

“Sejujurnya, saya tiada kisah yang terlalu menyedihkan untuk dikenangkan bila nak hayati babak air mata. Jadi apa yang terbaik untuk saya lakukan ialah, dalami watak itu sendiri.

“Alhamdulillah meski sudah bertahun tidak berlakon, saya bertuah sebab pelakon lain sama-sama membantu demi menghidupkan watak. Semuanya okay, mudah untuk cipta keserasian.

“Saya lama tak berlakon lalu digandingkan pula dengan barisan pelakon yang hebat, saya ibaratnya terkena tempias dengan aura mereka. Malah saya sendiri perlulah bersungguh-sungguh untuk jayakan watak yang diberikan,” katanya.

Filem Sabda Kekasih arahan Azhari Zain itu bakal ditayangkan pada 24 Jun ini di Astro First (saluran 480).

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI