
Penyanyi dan usahawan kreatif, Rayme Zainal yang sebelum ini aktif dalam industri muzik tempatan menerusi beberapa single seperti Andai dan Close To You, kini terus mengembangkan pengaruhnya dalam bidang penganjuran acara dan pembangunan komuniti.
Selain aktif menghasilkan karya ciptaan sendiri, bekas peserta program realiti All Together Now Malaysia ini turut menggabungkan minatnya terhadap seni, warisan dan pelancongan menerusi penganjuran Baling Escapade Festival (BEF) 2026 di bawah Raydiates Blue Sdn. Bhd.
Rayme optimis membawa visi untuk mengangkat keunikan seni, budaya dan warisan tempatan sebagai produk pelancongan yang mampu menarik perhatian pelancong dari dalam serta luar negara.
Berlangsung bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, festival tersebut dijadual berlangsung selama empat hari bermula 29 Julai hingga 1 Ogos depan dengan sasaran menghimpunkan lebih 60,000 pengunjung ke daerah Baling, Kedah.
Penganjuran festival ini bukan sahaja bertujuan mempromosikan sektor pelancongan luar bandar, malah menjadi platform untuk merancakkan ekonomi setempat dan memperkenalkan Baling sebagai antara destinasi pelancongan berpotensi tinggi di Malaysia.
Terkenal dengan panorama Gunung Baling, Gunung Pulai, sungai semula jadi, kawasan rekreasi serta khazanah warisan yang kaya, daerah itu dilihat memiliki segala kelebihan untuk berkembang sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Pelbagai Tarikan Seni, Budaya & Gastronomi
Sepanjang empat hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik disusun membabitkan elemen budaya, warisan, gastronomi, gaya hidup, pelancongan komuniti serta sukan pengembaraan.
Antara acara yang dijangka menjadi tumpuan ialah The Cultural Jam @ Baling, sebuah platform yang mengetengahkan kepelbagaian seni, muzik, persembahan tradisional, kraftangan, budaya rakyat serta pengalaman warisan unik dari Kedah dan Nusantara.
Program itu dijangka menghimpunkan penggiat seni budaya, komuniti kreatif, kumpulan persembahan tradisional serta pencinta budaya dari seluruh negara, sekali gus menjadikannya antara tarikan utama festival berkenaan.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang menikmati pengalaman gastronomi menerusi Baling Food & Gastronomy Experience melalui Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta, yang menghimpunkan lebih 100 gerai makanan, minuman dan produk gaya hidup daripada usahawan tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengusaha makanan warisan serta pelbagai jenama.
Festival tersebut turut menawarkan peluang kepada pengunjung untuk menikmati pelbagai hidangan tradisional Kedah, produk tempatan, demonstrasi masakan serta aktiviti interaktif yang memperlihatkan kekayaan warisan kulinari Baling.
Kolaborasi Bersama TMB100 Dijangka Pacu Pelancongan & Ekonomi
Salah satu kekuatan utama BEF 2026 ialah kolaborasi strategik bersama The Magnificent Baling 100 (TMB100)yang dianjurkan oleh Ten Senses (M) Sdn. Bhd.
Acara denai ultra yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa itu dijangka menghimpunkan lebih 4,000 pelari dari dalam dan luar negara sepanjang festival berlangsung.
Kehadiran ribuan peserta bersama penyokong TMB100 diyakini mampu memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan, penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan serta pelbagai perniagaan tempatan di sekitar daerah Baling.
Melalui gabungan BEF dan TMB100, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pengalaman budaya serta gastronomi, malah berpeluang merasai kemeriahan festival pengembaraan yang menghimpunkan komuniti pelari, pencinta alam semula jadi dan peminat sukan lasak dari pelbagai negara.
Gabungan unik itu sekali gus menjadikan BEF 2026 antara festival pelancongan paling komprehensif yang pernah dianjurkan di Kedah.
Anda mungkin berminat dengan
Pihak penganjur turut menyasarkan festival berkenaan mampu menjana impak ekonomi tempatan melebihi RM5 juta menerusi peningkatan perbelanjaan pelawat, jualan vendor, sektor penginapan, aktiviti pelancongan serta pelbagai perkhidmatan sokongan.
Dengan menggabungkan elemen budaya, gastronomi, pengembaraan, komuniti dan pelancongan dalam satu acara, BEF 2026 berpotensi muncul sebagai festival ikonik yang mampu mengangkat nama Baling sebagai antara destinasi pelancongan utama negara.
Malah pihaknya juga membuka peluang kepada vendor, usahawan, pempamer, penaja korporat serta rakan strategik untuk bersama-sama menjayakan festival berkenaan.
Dengan sasaran lebih 60,000 pengunjung, penyertaan lebih 4,000 pelari TMB100, lebih 100 booth makanan dan gaya hidup serta pelbagai program budaya dan warisan menerusi The Cultural Jam @ Baling, BEF 2026 dijangka muncul sebagai antara festival pelancongan, budaya dan pengembaraan terbesar di Malaysia pada tahun hadapan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

