
Pengarah Aziz M. Osman menyifatkan kejayaan filem 6 Jilake meraih sambutan luar biasa di platform penstriman Netflix membuktikan karya berkenaan sebenarnya mempunyai kelompok penonton tersendiri, terutama dalam kalangan generasi Millennial dan Gen-X.
Menurut Aziz, kelompok penonton berkenaan dilihat lebih selesa menikmati karya menerusi platform penstriman berbanding berkunjung ke pawagam.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan sesebuah filem mungkin mengambil masa lebih lama untuk mendapat perhatian mereka ketika ditayangkan di layar lebar.

“Ini jelas terbukti yang penonton saya ini tidak menonton wayang. Pada saya, millenial dan gen-x ini banyak menonton platform penstriman berbanding ke pawagam. Mereka menonton wayang kebanyakkannya gen-z.
“Mereka sanggup mengumpul duit untuk menonton wayang. Bila menonton wayang, paling sedikit wang yang dibelankakan adalah dalam RM30 hingga RM40.
“Jadi, mereka terpaksa memilih filem yang dekat dengan mereka. Yang suka menonton karya seperti 6 Jilake, mereka agak perlahan.
“Masalahnya di pawagam ketika ini, untuk menentukan kejayaan sesebuah filem, ia bergantung kepada empat hari pertama tayangan. Bila penonton saya nak datang pada hari kelima, memang sudah tiada lagi,”katanya kepada MH.
Sambutan Pawagam Dipengaruhi Budaya & Pilihan Penonton
Katanya lagi, sambutan kurang memberangsangkan di pawagam tidak semestinya bermaksud sesebuah karya itu tidak bagus, sebaliknya ia turut dipengaruhi budaya menonton dan pilihan penonton pada sesuatu waktu.

“Ini adalah budaya sekarang. Ia bukan disebabkan cerita itu tidak bagus sehingga menyebabkan orang tak nak tengok. Jadi, mereka terpaksa memilih.
“Kebetulan ketika filem 6 Jilake ditayangkan, filem Blood Brothers juga sedang berada di pawagam. Saya tidak salahkan keadaan. Ia lebih kepada pemilihan waktu,” ujarnya.
Dalam masa sama, Aziz turut menyangkal dakwaan yang menyifatkan panggung wayang sudah tidak lagi relevan susulan lambakan platform penstriman yang semakin menjadi pilihan penonton ketika ini.

“Itu tidak benar. Pawagam adalah satu medium untuk mereka keluar dan bukan duduk di rumah sahaja. Budaya ini sudah berlangsung sejak zaman 50-an lagi.
“Cuma evolusi panggung wayang sekarang telah membuatkan ia menjadi satu tempat yang eksklusif. Di situ ada bagus dan tidak bagusnya.
“Antara yang bagusnya, pawagam kini jadi lebih selesa. Yang tak bagusnya, ia sudah menjadi semakin mahal.
“Ambil contoh satu keluarga yang ada lima orang, jadi mereka akan pilih filem yang betul-betul boleh buat mereka puas hati. Mereka tidak akan pilih filem yang buat mereka tertanya-tanya,” kongsinya lagi.
Aziz Pertimbang Arah Karya Untuk Platform Penstriman
Sementara itu, Aziz memaklumkan dirinya kini semakin kurang berminat untuk mengarahkan filem kerana melihat perubahan corak penonton yang kini lebih selesa menikmati karya menerusi platform penstriman.

“Saya kini sudah tidak mahu ke hadapan lagi. Penonton saya sudah tiada lagi. Penonton saya ketika ini sedang duduk di rumah dan menonton Netflix.
Anda mungkin berminat dengan
“Bukan nak kata saya tidak mahu mengarahkan filem lagi. Saya nak buat tapi saya kasihankan penerbit. Ketika ini, untuk buat filem yang layak dipertontonkan, paling sedikit belanjanya adalah RM2 juta.
“Jadi, apapun yang jadi, mereka kena kutip paling kurang RM4 juta. Kalau kita tahu filem itu tidak akan macam kutip RM4 juta, tak ke kita aniaya penerbit?
“Saya sangat gembira apabila filem saya akhirnya ditonton oleh ramai orang di platform penstriman. Itu perasaan sebagai pengarah dan pengkarya. Dari segi bisnes, itu tidak berapa baik,” katanya lagi.
Justeru, Aziz berharap platform penstriman tempatan mahupun antarabangsa dapat membuka lebih banyak ruang kepada pengarah sepertinya untuk menghasilkan karya khusus buat tontonan di platform berkenaan.
“Diharapkan satu hari nanti, platform penstriman ini dapat memanggil orang seperti saya untuk mengarahkan karya di platform mereka.
“Di barat juga trend ini sudah lama dibuat.
Pengarah-pengarah hebat mereka tidak buat filem di pawagam lagi. Mereka kini lebih fokus kepada platform penstriman,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

