Dunia seni Indonesia kehilangan seorang lagi permata apabila pelawak veteran dan anggota asal kumpulan lawak Srimulat, Sri Sumiarsih atau lebih dikenali sebagai Miarsih yang meninggal dunia pada 19 Mei pada usia 73 tahun.

Berita pemergian Allahyarham diumumkan menerusi laman media sosial rasmi Persatuan Seniman Komedi Indonesia (PASKI) pada 21 Mei 2025.

“Innalillahi wa innailaihi rojiun. Telah meninggal dunia dengan tenang, Ibu Miarsih (pelawak Srimulat Surabaya). Mohon dimaafkan segala kesalahan almarhumah. Terima kasih atas doa dan tanda kasih buat beliau,” tulis kenyataan itu.

Anak Allahyarham, Dea Anggita ketika dihubungi media tempatan mengesahkan ibunya menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Haji, Surabaya pada Isnin lalu akibat komplikasi penyakit kencing manis dan buah pinggang.

Ads

Menurut Dea, keadaan kesihatan ibunya telah merosot sejak sekian lama akibat penyakit kencing manis yang dialami sejak beliau masih kecil.

Katanya, fungsi buah pinggang Allahyarham pernah menurun sehingga 15 peratus dan memerlukan rawatan dialisis secara berterusan.

“Keadaan Mama semakin merosot selepas menghidap sakit buah pinggang. Akhirnya beliau menjadi kritikal,” katanya seperti dipetik portal hiburan detikHot.

Ads

Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Umum (TPU) Keputih, Surabaya, bersebelahan kubur arwah suaminya.

Miarsih dikenali sebagai antara figura penting dalam dunia komedi Indonesia, khususnya melalui kumpulan Srimulat yang cukup popular pada era 1980-an dan 1990-an.

Ads

Sepanjang hayatnya, beliau dikenang sebagai pelawak yang berjiwa besar serta dekat dengan hati penonton.

Biarpun usianya sudah melebihi tujuh dekad, Miarsih tetap aktif berkarya. Terbaharu, filem lakonannnya Cocote Tonggo baru sahaja ditayangkan di pawagam Indonesia bermula 15 Mei 2025 yang lalu.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI