
Penyanyi muda, Auddra atau lebih mesra disapa Odda, menyangkal dakwaan kononnya dia diberikan laluan mudah dan layanan istimewa selepas serius terlibat di dalam seni kerana merupakan anak kepada pasangan selebriti, Sharifah Shahirah dan Ijoy.
Menurut Odda, sebagai artis baharu dia tetap perlu melalui proses yang sama seperti rakan lain, termasuk menghadiri sesi uji bakat tanpa menggunakan pengaruh ahli keluarga untuk mendapatkan peluang.
“Ramai yang kata ‘nepo baby’ ini kerja mereka semuanya mudah sahaja. Tanggapan itu sebenarnya salah. Walaupun bergelar anak selebriti, saya tetap kena menghadiri sesi uji bakat.
“Saya tak dapat sesuatu tawaran itu secara mudah sahaja. Saya juga perlu lalui apa yang ibu saya hadapi satu ketika dahulu.
“Malah, kalau di set, kena marah dengan pengarah pun saya terima sahaja. Perjalanan saya tidak mudah. Saya juga kena berusaha keras,” katanya kepada MH.
Odda berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Gelanggang Rasa, baru-baru ini.
Tambah Odda lagi, status anak selebriti bukanlah tiket untuk berjaya sebaliknya dia tetap perlu membuktikan bakat dan kemampuannya bagi bersaing dengan barisan artis baharu lain.
“Saya selalu pesan kepada artis baharu lain, amalkan konsep angguk-angguk dan geleng-geleng.
“Sebenarnya perjalanan seni saya tidak mudah seperti yang orang lihat. Banyak kerja keras di sebalik semua ini. Kalau saya ‘nepo baby’ sekali pun, tak mungkinlah saya lahir terus ada kehidupan sempurna.
“Kemudian, jangan sesekali bandingkan perjalanan seni saya dengan artis lain. Contohnya bandingkan saya dengan mama yang sudah berusia 51 tahun.
“Tidak sepatutnya sebab saya baru berusia 17 tahun, jadi semua perlu bertenang dan beri ruang,” ujarnya.



Baca Artikel Lain;
Impian Miliki Single Akhirnya Tercapai
Dalam pada itu, Odda mengakui ada masanya dia berdepan keletihan dan hilang semangat, namun perkara tersebut tidak pernah mematahkan impiannya untuk terus membina nama sebagai anak seni.
“Setiap hari saya kena buat macam-macam perkara. Ada kalanya saya pun penat tapi saya tetap paksa diri. Inilah perkara yang saya mahukan dan saya tak boleh merungut.
“Ada sahaja hari yang saya rasa tidak seronok tapi saya tetap kene teruskan kerja-kerja saya. Kalau kita bekerja keras sampai menangis, kita sedan buat perkara betul.
“Itulah nasihat ibu saya. Saya mahu terus konsisten dan beri 100 peratus ketika bekerja,” kongsinya lagi.
Anda mungkin berminat dengan

Berkongsi mengenai single sulungnya, Gelanggang Rasa, hasil ciptaan Mingaling, Micu Ellis dan Aril Armani, Odda meluahkan rasa syukur apabila impian yang dipendam sejak sekian lama akhirnya menjadi kenyataan.
“Saya sangat terharu, tercapai sudah satu impian saya.
“Sejak dulu lagi saya memang ada impian untuk mempunyai lagu sendiri. Sekarang semua itu sudah menjadi kenyataan, alhamdulillah,” kongsinya lagi.
Gelanggang Rasa kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik, manakala muzik videonya turut tersedia untuk ditonton menerusi saluran YouTube Universal Music.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

