
Pendatang baharu, Rieffa akui gagal mengawal emosi sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada saingan konsert minggu keempat Big Stage Rocketfuel, malam tadi.
Menurut penyanyi berusia 18 tahun itu, seluruh tubuhnya tiba-tiba menjadi longlai kerana tidak menyangka perjalanan dalam pertandingan tersebut berakhir lebih awal daripada yang diharapkan.


“Saya memang macam tu. Kalau ‘down’, memang ‘down’ betul-betul. Tiba-tiba rasa macam nak jatuh, memang tak boleh kawal diri ketika itu.
“Saya rasa lemah terus, macam dah tak ada apa-apa yang boleh saya buat. Nasib baik ada abang-abang yang sempat turun papah saya,” katanya kepada MH.
Rieffa berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu keempat Big Stage Rocketfuel di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada Ahad.
Terkilan, Rasa Hampa Harapan Keluarga
Rieffa turut mendedahkan, dia terkilan kerana berpendapat penyingkiran tersebut telah menghampakan ahli keluarga serta peminat yang sentiasa memberikan sokongan.


“Bila saya berada di atas pentas, saya nampak ibu dan nenek.
“Saya rasa saya sudah menghampakan keluarga, terutamanya mak.
“Nasib baik saya masih boleh kawal lagi. Kalau tidak, mungkin saya tak ada di sini (sidang media),” kongsinya lagi.
Malah jelas Rieffa, dia cuba memberikan sepenuh komitmen bagi memastikan persembahannya tiap minggu tampil berbeza.

“Secara peribadi, saya merasakan sudah buat yang terbaik.
“Saya banyak olah lagu yang dipersembahkan, buat susunan lagu sendiri sampai tak tidur malam.
“Potong lagu, ubah sana sini, cari irama yang menarik demi yang terbaik,” ujarnya.
Reda Ketentuan Rezeki, Sasar Karya Baharu
Dalam pada itu, Rieffa tetap berlapang dada dan menerima keputusan penyingkiran dengan hati terbuka.
Dia turut menganggap segala yang berlaku sebagai ketentuan rezeki Allah SWT.

“Apa pun, kalau nak kata saya tak patut tersingkir, tak boleh juga.
Anda mungkin berminat dengan
“Cuma rasa sedih sebab tak dapat bagi apa yang ibu saya harapkan. Akan tetapi, itulah namanya rezeki.
“Insya-Allah di luar sana mungkin akan ada benda yang lebih ‘mind blowing’ untuk saya. Ada juga ada perancangan untuk keluarkan lagu sendiri, insya-Allah,” akhirinya.
Terdahulu, Rieffa terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada program realiti itu selepas berada di kedudukan tercorot.
Sepanjang lapan minggu pertandingan, para peserta bersaing merebut gelaran juara dengan tiga pemenang utama bakal membawa pulang Rocketfuel Artist Development Contract bernilai keseluruhan sehingga RM200,000.
Musim kali ini pada asalnya menampilkan 10 peserta iaitu Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-Z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina dan duo Adam & Nazmie sebelum Hussain diumumkan sebagai peserta ke-11.
Ganjaran yang ditawarkan merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.
Program yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva Natassha itu bersiaran setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria, selain boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

