
Meskipun berjaya menampilkan persembahan memukau, penyanyi dan usahawan, Mila Jirin mengakui berdebar ketika melangkah ke pentas saingan minggu pertama Gegar Vaganza Fantasia (GVF), Ahad lalu.
Menurut Mila, perasaan gugup itu timbul memandangkan sudah sekian lama dia tidak membuat persembahan di pentas berskala besar.
Bagaimanapun, Mila bersyukur apabila kehadirannya disambut dengan sorakan dan sokongan peminat yang secara tidak langsung membangkitkan semangatnya untuk memberikan persembahan terbaik.

“Saya akui sangat berdebar kerana saya sudah lama meninggalkan pentas sebesar itu. Alhamdulillah, dalam fikiran saya, saya hanya mahu memberikan yang terbaik buat penyokong.
“Walaupun sudah agak lama saya berehat, mereka tetap datang untuk memberikan sokongan.
“Saya seorang yang suka menyerap energi. Bila saya dapat sorakkan peminat, energi itu datang dan buat saya lebih bersemangat,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Persis Mutiara itu berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu pertama GVF, baru-baru ini.
Pujian Juri Dianggap Amanah, Tidak Mahu Sia-siakan Ilmu AF
Dalam pada itu, Mila turut menganggap pujian yang diberikan barisan juri sebagai satu amanah buat dirinya untuk terus menampilkan persembahan terbaik pada minggu-minggu seterusnya.

“Selepas persembahan, saya jadi blank bila nak tahu juri mana yang akan memberikan komen. Saya jadi berbedar-debar. Tekak pun kering. Rasanya seperti pergi uji bakat AF dahulu.
“Walaupun saya sudah lama tidak beraksi, namun, saya membawa semula pengalaman-pengalaman lama yang membentuk diri saya yang dahulu.
“Bila dapat pujian, ini adalah amanah yang berat. Kita baru sahaja lalui minggu pertama. Pertandingan sebenar akan bermula minggu hadapan.
“Bila kita kena menyanyikan lagu penyanyi lain, saya cuma mahu menyanyi dengan versi saya sendiri. Itulah cara terbaik untuk kita sampaikan sesebuah karya dengan penuh emosi,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Mila turut meluahkan rasa syukur apabila kualiti vokalnya mendapat pujian, sekali gus menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil daripada rutin penjagaan suara serta ilmu nyanyian yang dipelajari sepanjang bergelar pelajar Akademi Fantasia (AF).
Baca Artikel Lain;

“Syukur Allah memberikan nikmat suara kepada saya. Walaupun saya sudah lama tidak menyanyi di persembahan berskala besar, namun saya tidak pernah tinggal rutin pemanasan badan.
“Saya buat rutin warm up ini setiap hari walaupun tidak menyanyi. Begitulah saya mulakan hari saya.
“Buat pelajar-pelajar AF ini, kami dibekalkan dengan latihan vokal dan ilmu nyanyian. Kami dapatkan segalanya itu dengan percuma. Jadi, saya tak nak bazirkan ilmu itu,” kongsinya.
Anda mungkin berminat dengan
Mila & Stacy Saling Menyokong, Harap Kekal Hingga Pentas Final
Mengulas mengenai dirinya yang dikatakan bakal memberikan saingan hebat kepada rakan peserta seperti Stacy, Mila menyifatkan hubungan persahabatan yang terjalin membuatkan mereka lebih selesa untuk saling menyokong sepanjang berada di pentas GVF.

“Ketika di atas pentas, saya asyik pegang tangan Stacy. Kami berdoa yang kami akan kekal sampai final. Saya nampak semangat AF itu tak pernah pudar.
“Kita siap bantu lagi untuk memikirkan lagu apa yang bagus untuk dinyanyikan oleh kawan-kawan lain.
“Pada saya, persaingan itu tetap ada tapi kita semua juga mahu berseronok dan berikan yang terbaik buat peminat,” akhirinya.
Terdahulu, Mila yang membawakan lagu Persis Mutiara berjaya meraih kedudukan kedua dengan perbezaan markah hanya 0.29 berbanding Stacy yang menduduki tempat pertama dengan 66.80%.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


