
Penyanyi remaja Hadie Elfardie, mengakui bimbang memikirkan mengenai sejauhmana penerimaan pendengar terhadap single sulungnya, Dusta Sebuah Cinta yang baru sahaja dilancarkan.
Sebagai penyanyi baharu, Hadie berharap agar dia diberikan peluang untuk membuktikan kebolehan, selain akan terus bekerja lebih keras sekiranya percubaan pertamanya itu belum mendapat sambutan seperti yang diharapkan.
Hadie yang juga bekas peserta program Talk To My Manager musim pertama turut menjelaskan, dia juga mengambil masa sehingga lima bulan untuk mencari penghayatan yang sesuai sebelum merakamkan lagu berkenaan.
“Antara cabaran awal untuk saya terhadap lagu sulung ini adalah dari segi tempoh masa yang agak lama diambil, demi mencari penghayatan sebelum merakamkan lagu ini.
“Bagi saya, lambat atau cepat bukan perkara yang harus menjadi persoalan.
‘Ini kerana sebagai pendatang baharu, penting untuk saya memberikan tanggapan pertama yang baik kepada pendengar kerana saya mahu menceburi bidang ini secara serius,” katanya.
Ambil Masa Untuk Hayati Lagu
Lagu ciptaan Jaja Ishak bersama Herman Shah itu mengisahkan percintaan yang tidak kesampaian, dengan mesej positif di sebalik kegagalan di dalam sesebuah hubungan.
Hadie yang juga anak sulung kepada Allahyarham Suhaimi Saad dan Ina Naim menambah, dia bukan sahaja perlu menghafal melodi dan lirik, malah mengambil masa untuk memahami jalan cerita yang ingin disampaikan menerusi lagu berkenaan.
“Lagu ini mengenai satu hubungan yang sepatutnya sama sama menjaga, tetapi akhirnya hanya seorang saja yang berusaha.
“Tak kisahlah lelaki atau perempuan. Ia mengenai kisah cinta yang tidak kesampaian.
“Saya orang pertama yang kena nyanyikan lagu ini. Jadi, nak dapatkan melodi, hafal lirik dan masuk dalam karakter lagu itu memang sukar.
“Ya, ambil masa lebih kurang lima bulan untuk saya betul-betul dapat ‘feel’ lagu ini dan sampaikan ceritanya dengan sehabis baik.
Tempoh yang agak lama itu turut dipengaruhi rasa kurang yakin memandangkan Hadie masih baharu dalam industri muzik.
“Sebelum ini ada karyawan berpengalaman yang ‘guide’, misalnya dari segi tempo dan lenggok pun ada orang jaga.
“Sekarang banyak perkara saya buat sendiri. Memang ada rasa ragu-ragu dan takut. Tapi Alhamdulillah, ada mak dan Jaja Ishak yang boleh guide serba sedikit,” katanya lagi.



Baca Artikel Lain;
Bertanya Pada Ibu Cara Arwah Bapa Fahami Karya
Dalam pada itu, Hadie turut mendapatkan pandangan ibunya, Ina Naim, mengenai cara bapanya, Allahyarham Suhaimi mendalami sesebuah karya ketika masih aktif dalam bidang muzik.
“Saya ada tanya ibu, kalau ayah dulu macam mana dia nak dapatkan ‘feel’ sesebuah lagu?
“Ibu ingatkan saya supaya banyak dengar lagu sendiri supaya boleh dapat dan ‘kenal’ lagu itu.
“Arwah ayah melalui perjalanan daripada berkumpulan sehinggalah bergerak solo. Saya banyak hayati cara pembawaan lagu-lagunya juga.
“Saya juga banyak bercerita. Kadang kadang bila pergi ke kubur, saya bercerita tentang hidup tanpa dia. Alhamdulillah, semuanya baik baik,” katanya.
Latihan Kunci Perbaiki Mutu Nyanyian
Bagi memastikan vokalnya berada dalam keadaan baik, Hadie turut memilih untuk mengamalkan rutin asas seperti menjaga pemakanan, rehat secukupnya dan memahami karakter setiap lagu yang dibawakan.
Anda mungkin berminat dengan
“Saya ikut cara latihan, jaga pemakanan dan cuba menghayati lagu.
“Tak ada rahsia sangat, perkara asas yang artis lain pun buat seperti kurangkan ais, makanan berminyak dan banyak berehat supaya suara terjaga,” katanya.
Dusta Sebuah Cinta diharap dapat menjadi titik baharu buat Hadie dalam meneruskan perjalanan seninya.
“Saya risau juga sebab cuba buat benda baharu, tetapi saya kena teruskan. Kalau ikutkan memang risau kalau makin lama makin tenggelam.
“Dengan adanya single ini, saya harap ia boleh menaikkan semula nama saya.
“Saya belum rasa lega selagi belum sampai sasaran dan belum cukup dikenali. Tetapi perasaan seronok itu memang ada sebab sekarang saya sudah ada single sendiri,” akhirinya.
Muzik Video (MV) lagu berkenaan juga sudah menerima hampir 20,000 tontonan di YouTube selepas dimuat naik dua hari lalu.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

