Berita

Lelaki Tak Dikenali Ubah Perspektif Aina Abdul, Jadi Titik Tolak Persembahan ‘All Out’ di AJL40 – “ Saya Menangis Dan…”

Share

Penyanyi dan komposer, Aina Abdul menyifatkan kemenangan menerusi Persembahan Terbaik dan Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) sebagai satu kemenangan yang amat bermakna buat dirinya serta seluruh pasukan.

Menurut Aina, pencapaian tersebut memberikan ketenangan yang sudah lama tidak dirasainya, sekali gus mengubah cara dia melihat erti kemenangan meskipun berdepan ekspektasi tinggi daripada orang ramai.

“Alhamdulillah saya terharu, bersyukur dan berbaloi dengan kerja keras saya dan pasukan lakukan. Mungkin orang menganggap kemenangan ini agak klise tapi sekali lagi, jika tanpa peminat, saya tak mungkin berada di sini.

“Saya tidak akan dapat bermimpi pun memegang kesemua penghargaan ini. Saya rasa sangat bahagia. Sudah lama saya tidak berasa setenang ini selepas tamat AJL.

“Biasanya, selepas AJL, saya terlalu meletakkan ekspektasi yang tinggi terhadap diri sendiri. Bila tak dapat sesuatu, saya akan tertekan.

“Tahun ini, sudah tentu kita letakkan satu standard untuk dicapai, disebalik semuanya, saya berasa tenang. Alhamdulillah saya dapat juga berasa kemanisan kemenangan malam ini,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Kamu itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media AJL40 yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada Sabtu.

Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/debut-pertama-k-o-i-bawa-tuah-juara-ajl40-aina-abdul-raih-total-rm62000-jadi-wakil-malaysia-ke-eurovision-asia/

Pertemuan Dengan Lelaki Tak Dikenali Ubah Segalanya

Dalam pada itu, Aina mendedahkan keputusan untuk tampil dengan persembahan berskala besar bukan sahaja hasil perbincangan bersama pasukannya, malah dipengaruhi oleh satu pertemuan tidak dijangka dengan seorang lelaki yang tidak dikenalinya.

Menurutnya, individu tersebut telah mengubah perspektifnya ketika dia berada dalam keadaan tertekan sehingga membuatkan dirinya kembali yakin untuk menjadi diri sendiri.

“Segalanya berlaku hasil perbincangan bersama pasukan. Saya juga bertanya kepada diri sendiri, adakah saya patut all out atau sebaliknya. Rupanya Allah bagi petanda itu perlahan-lahan.

“Ini adalah kisah besar, saya ada terjumpa dengan seorang individu yang tidak saya kenali, dia ubah pemikiran saya 100 peratus.

“Jika orang itu menonton sekarang, saya tahu kita berjumpa di sebuah pusat beli belah dan saya menangis.

“Lelaki itu datang kepada saya dan kata saya kelihatan sangat tertekan. Katanya, saya sepatutnya menjadi diri sendiri. Itulah yang membuka mata saya dan buat saya meremang.

“Saya rasa sangat sedih ketika itu. Sama ada nak buat skala kecil atau besar, segalanya memerlukan kos. Saya patut dengar suara saya sendiri dan berikan apa yang peminat mahu. Terjadilah persembahan ini,” ujarnya.

Enggan Dedah Kos Persembahan, Yakin Rezeki Allah

Mengulas mengenai kos persembahan, Aina memilih untuk tidak mendedahkan jumlah sebenar yang dibelanjakan. Bagaimanapun, dia percaya setiap pengorbanan yang dilakukan akan digantikan dengan rezeki daripada Allah SWT.

“Bercakap tentang kos, ia sesuatu yang tidak boleh saya dedahkan. Pada mulanya, saya mahu buat skala kecil sahaja, akhirnya ia menjadi salah satu persembahan terbesar saya setakat ini.

“Namun, saya merasakan ia sangat berbaloi kerana saya menjadi diri saya sendiri. Wang ringgit itu, Allah boleh bantu kita cari. Walaupun bukan mudah, saya percaya Allah akan temukan cara itu,” akhirinya.

Aina juga turut terpilih untuk mewakili Malaysia ke pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

@mediahiburanofficial Penyanyi dan komposer, Aina Abdul menyifatkan kemenangan menerusi Persembahan Terbaik dan Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) sebagai satu kemenangan yang amat bermakna buat dirinya serta seluruh pasukan. Menurut Aina, pencapaian tersebut memberikan ketenangan yang sudah lama tidak dirasainya, sekali gus mengubah cara dia melihat erti kemenangan meskipun berdepan ekspektasi tinggi daripada orang ramai 🔥💪🏻 #MHnews #MediaHiburan ♬ original sound – Media Hiburan
Published by
Aizam Manaf