
Pengarah Erma Fatima mempertaruhkan kekuatan skrip sebagai senjata utama untuk meyakinkan nama-nama besar membintangi filem terbaharunya, Langit 2 Warna.
Menurut Erma, bukan mudah untuk mendapatkan persetujuan pelakon berkaliber, lebih-lebih lagi apabila membabitkan dua figura tersohor, Christine Hakim dan Reza Rahadian.


“Saya harus yakin dengan karya dan seni saya. Jika saya tidak yakin, tidak mungkin saya dapat lahirkan karya ini. Bagi menyakinkan para pelakon pula, senjata saya adalah skrip.
“Meskipun saya sudah mengenali Christine Hakim berpuluh tahun, tak semudah itu untuk saya mendapatkan khidmat beliau. Begitu juga dengan Reza Rahadian.
“Saya mengikut prosedur biasa di mana seorang pelakon harus membaca skrip terlebih dahulu sebelum memberikan jawapan. Syukur mereka kembali dengan jawapan yang positif,” katanya kepada MH.
Erma berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media dan sesi pengenalan pelakon filem Langit 2 Warna yang berlangsung di Wyndham Suites KLCC, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Reza & Christine Bukan Dalam Perancangan Asal
Menurut penerbit drama Bidaah itu, nama Reza dan Christine sebenarnya tidak pernah berada dalam perancangan awal kerana dia menyedari bukan mudah untuk mendapatkan khidmat kedua-dua pelakon berkenaan.
Malah, Erma sanggup mengubah skrip serta jalan cerita bagi menghidupkan watak yang lebih sesuai dengan kekuatan lakonan Christine.

“Sebenarnya nama Reza tiada dalam perancangan kerana saya tahu yang saya tidak mampu dan susah nak dapatkan khidmat beliau.
“Reza sangat terkenal dengan sikap memilih naskhah. Pada mulanya, saya hanya memberikan skrip ini kepada Christine untuk dia baca dan komen. Bukan untuk berlakon.
“Christine juga tiada dalam perancangan saya. Kemudian, dia telefon saya dan bertanya siapa yang bakal bawa watak Salafi? Katanya saya perlu pilih pelakon yang tepat.
“Dia minta saya cuba dapatkan Reza Rahadian. Jawapan saya tidak mungkin. Katanya, dia yakin Reza mampu beri apa yang saya inginkan di dalam naskah ini. Bila baca skrip, dia hanya terbayangkan Reza,” ujarnya.
Bagaimanapun, Erma mengakui dia terpaksa menunggu lama sebelum akhirnya menerima jawapan daripada Reza.

“Penantian untuk mendapatkan jawapan itu memang satu penyiksaan. Ia sama seperti kita mencintai seorang lelaki yang kita tidak tahu dia turut mencintai kita atau tidak.
“Rasa seperti digantung tidak bertali. Tuhan bagi saya satu proses untuk bersabar untuk menunggu jawapan itu. Kata Christine, yang baik itu pasti akan datang lambat,” kongsinya lagi.
Tak Gentar Arah Pelakon Hebat
Ditanya sama ada dirinya gementar untuk mengarahkan dua nama besar itu, Erma menjelaskan pengalaman lalu banyak membentuk keyakinannya sebagai seorang pengarah.
Anda mungkin berminat dengan

“Ketika pertama kali saya jadi pengarah tanpa ilmu pengarahan, individu yang saya arahkan adalah Allahyarham Azean Irdawaty, Ieda Nerina dan Allahyarham Jalil Hamid. Mereka ini 1000 kali lebih hebat daripada saya.
“Ketika itu, jiwa saya bergetar dan takut. Kali ini, saya tidak takut untuk berhadapan dengan mereka kerana saya tahu apa yang saya nak.
“Saya tak sabar. Kini, saya seperti seorang yang mabuk cinta. Saya lalui satu proses yang sangat derita. Bagaimana saya nak keluarkan cinta di dalam hati yang sudah lama saya tinggalkan,” akhirinya.
Terdahulu, Langit 2 Warna dijadual memulakan penggambaran pada Oktober depan di beberapa lokasi termasuk Mekah, Madinah, Kaherah, Kuala Lumpur, Terengganu dan Jogjakarta.
Selain Reza Rahadian dan Christine Hakim, filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Eman Manan, Datuk Tamimi Siregar, Ummi Nazeera, Umie Aida serta ramai lagi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

