
Kumpulan K.O.I mengakui mereka langsung tidak meletakkan sebarang harapan untuk muncul juara menerusi lagu Tiwikarma pada Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), malam tadi.
Menurut salah seorang anggotanya, Mya Nana, sasaran utama mereka hanyalah untuk memberikan persembahan terbaik selain menyampaikan mesej positif menerusi karya yang dipersembahkan.
“Secara jujurnya kami tidak jangka walaupun untuk berada di kedudukan tiga terbaik apatah lagi untuk bergelar juara. Fokus kami hanya untuk memberikan persembahan terbaik sahaja.
“Kami sangat terkejut tapi syukur kepada Allah SWT. Kami hanya mahu menyampaikan mesej kepada penonton memerusi persembahan kami.
“Ketika penonton melaungan nama K.O.I sebelum pemenang diumumkan, kami agak takut juga. Kami rasa seram sejuk dan tiada rasa kami akan menang.
“Kami hanyalah peserta baharu. Ada ramai lagi peserta legenda yang turut bersaing malam ini,” katanya kepada MH.
K.O.I berkata demikian ketika ditemui pada sidang media AJL40 yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, pada Sabtu.
Sementara itu, Achoi memaklumkan, sebagai pendatang baharu dalam industri muzik, mereka tidak mempunyai kemampuan untuk melabur besar bagi menjayakan persembahan di pentas AJL40.
Menurutnya, kekangan tersebut menyebabkan hampir keseluruhan persiapan dilakukan sendiri dengan bantuan rakan-rakan.
“Bila menubuhkan K.O.I, kami tidak menjangkakan apa-apa. Kami buat hanya sekadar cintakan muzik dan suka-suka sahaja. Bila kami menulis lagu Tiwikarma, kami tidak meletakkan harapan tinggi.
“Jika lihat muzik video kami, semua ‘do it yourself’ (DIY). Kitalah jadi kru dan buat muzik sendiri. Jika lihat kertas yang berterbangan malam tadi, kami potong sendiri sebanyak 200,000 keping.
“Sampai luka tangan kami dan ia mengambil masa selama empat hari. Kami ini masih baharu jadi, kekuatan nak melabur itu agak kurang. Kami hanya buat sendiri. Dari segi susunan lagu dan kru, semua kawan-kawan yang tolong. Terima kasih kepada mereka,” ujarnya.
Mengulas mengenai konsep persembahan mereka pada AJL40, Tuan Nicky berkata, K.O.I sengaja mengetengahkan tema yang bersifat ‘worldwide’ dan ‘universal’ bagi membawa mesej mengenai penderitaan serta penindasan yang berlaku di seluruh dunia.
“Saya rasa ramai yang tahu maksud disebalik lagu kami. Pada AJL40 ini, kami memilih tema ‘worldwide’ dan ‘universal’. Kami memang mahu dekat dengan penonton.
“Ada sebab kami memakai baju-baju berwarna bumi dan para penari menunjukkan gerakan seperti orang yang sengsara. Kami mahu tunjukkan ujian buat orang-orang dan anak kecil yang ditindas di seluruh dunia.
“Biarlah penonton menginterpretasi sendiri maksud disebalik persembahan itu,” kongsinya.
Dalam pada itu, K.O.I mengakui mereka masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk menggunakan wang kemenangan berjumlah RM100,000 kerana langsung tidak menyangka bakal membawa pulang trofi AJL40.
“Kami belum ada sebarang perancangan kerana kami tak jangka langsung untuk bawa pulang hadiah ini. Kami pun tak pernah terfikir nak buat apa dengan duit kemenangan ini,” katanya lagi.
Terdahulu, lagu Tiwikarma berjaya mengetepikan cabaran sembilan peserta lain sekali gus dinobatkan sebagai juara AJL40.
Kemenangan itu membolehkan K.O.I membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 berserta trofi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.