
Selepas hampir seminggu, pelawak dan usahawan, Shuib akhirnya tampil memohon maaf kepada rakan pelawak, Jep Sepahtu.
Permohonan maaf itu dibuat susulan dakwaan Shuib memerli Jep menerusi satu episod podcast sehingga mencetuskan ketegangan antara kedua-dua pelawak berkenaan.
Menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram, Shuib mengakui tempoh hampir seminggu itu merupakan antara saat paling sukar buat dirinya apabila terpaksa berdepan pelbagai kecaman dan penghinaan yang turut melibatkan isteri, anak-anak, keluarga serta perniagaannya.

“Hampir seminggu saya mendiamkan diri tanpa memberikan apa-apa kenyataan tentang apa yang berlaku antara saya dan Jep Sepahtu.
“Dari hari pertama kenyataan Jep dikeluarkan pada 8 Oktober sampailah hari ini, saya melalui satu tempoh yang sangat sukar.
“Saya diperli, saya dimaki, saya dihina, dikecam dan ianya bukan sahaja berlaku kepada saya, tapi ianya melibatkan juga isteri saya Wati, anak-anak, keluarga dan juga perniagaan saya,” luahnya.
Sudah WhatsApp Jep Kurang 24 Jam Selepas Kenyataan Dikeluarkan
Dalam masa sama, Shuib mendedahkan, dia sudah menghubungi Jep menerusi aplikasi WhatsApp pada 9 Oktober lalu, iaitu kurang 24 jam selepas kenyataan Jep dikeluarkan.
“Saya nak maklumkan yang tak sampai 24 jam, iaitu pada pukul 1.51 pagi Jumaat, saya telah WhatsApp Jep dengan penuh rendah diri untuk memohon maaf atas kekhilafan saya dan Mamat menyindir dia dalam Dols Podcast bersama Azlee Senario.
“Saya kira dia telah menerima WhatsApp tersebut dan mungkin telah membacanya. Wallahualam.
“Saya penuh kesal dan memohon maaf kepada dia berulang kali. Saya anggap ini ujian untuk saya dan balasan di atas kekhilafan saya dalam berkata-kata.
“Saya mohon maaf kepada semua yang mungkin marah dan rasa tak patut dengan apa yang saya telah buat di Dols Podcast.
“Saya sedar saya manusia yang tidak sempurna, selalu membuat salah, selalu buat dosa. Jadi saya mohon maaf di atas kekhilafan saya,” ujarnya lagi.
View this post on Instagram
Dalam pada itu, Shuib memaklumkan, dia juga sudah memaafkan semua individu yang mengecam, menghina atau memfitnah dirinya serta ahli keluarga sepanjang kontroversi tersebut.
Bagaimanapun, dia merayu agar orang ramai menghentikan sebarang andaian dan fitnah, khususnya yang melibatkan isteri, anak-anak, keluarga serta perniagaannya.
“Saya halalkan dan maafkan kepada sesiapa saja yang mengecam, menghina atau memfitnah saya, isteri, anak-anak, keluarga dan juga perniagaan saya.
“Saya anggap ini ujian dan balasan di atas kekhilafan saya yang telah pun saya lakukan.
“Saya mohon sangat-sangat. Berhentilah membuat apa-apa lagi andaian, kecaman, makian ataupun fitnah ke atas saya, pada isteri saya Watie, anak-anak, keluarga saya dan juga perniagaan saya,” rayunya.
Kenang Persahabatan Hampir 20 Tahun
Tambah Shuib, perniagaan yang diusahakannya ketika ini merupakan sumber pendapatan utama keluarga.

“Seperti Sepah Penyet, BubbleBee, Nusara Foods, sambal hitam adalah perniagaan yang sah halal dan inilah dia sumber pendapatan keluarga saya sekarang.
“Inilah yang saya jalankan sekarang untuk membayar segala hutang company iaitu BubbleBee.
“Janganlah kerana marahkan saya, isteri, anak-anak dan keluarga saya terlibat.
“Mereka tidak bersalah, saya yang bersalah dalam perkara ini dan janganlah juga kerana benci kepada saya, perniagaan saya ni diboikot sedangkan perniagaan saya sah dan halal,” katanya lagi.
Anda mungkin berminat dengan
Di penghujung video berkenaan, Shuib turut menyampaikan permohonan maaf secara terbuka khusus buat Jep yang sudah dikenalinya sejak hampir 20 tahun lalu.
“Video ni khas untuk Jep. Jep, kalau kau tengok video ni, aku mohon maaf.
“Kita kenal dekat 20 tahun, hampir separuh daripada hidup aku. Aku takkan boleh menidakkan kenangan yang telahpun kita bina selama ni.
“Selama kita berjaya, susah senang yang kita pernah lalu’, kejayaan yang pernah kita capai, dan ianya akan aku simpan sebagai satu kenangan yang paling indah dalam hidup aku.
“Aku minta maaf di atas kekhilafan dan juga keegoan aku. Aku halalkan segala-galanya.
“Aku doakan kau, Jep. Aku doakan kau, Allah mudahkan segala urusan aku, doakan kau dan juga keluarga kau, isteri kau Sari Yanti, aku doakan anak-anak kau, Allah mudahkan, Allah rahmat dunia dan akhirat.
“Sekali lagi, Jep, aku minta maaf. Semoga Allah akan uruskan segala permasalahan kita dengan baik.
“Aku minta maaf Mohd Nadzri bin Zainal Abidin,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

