Beberapa hari lalu seperti yang dijanjikan, penyanyi Yuna akhirnya melancarkan single terkininya, Forevermore lengkap bersama muzik videonya.

Telah pun berapa pada kedudukan antara muzik video paling trending di Malaysia, Forevermore nyata memberi signifikan tersendiri buat pencinta muzik tempatan khususnya.

Menampilkan beberapa elemen Malaysia, Yuna mempersembahkan sebuah naskhah terbaik buat peminatnya seluruh dunia dengan memperkenalkan budaya Malaysia menerusi muzik video single terkininya itu.

Diarahkan suami sendiri, Adam Sinclair, Yuna turut mengakui ia sebuah muzik video istimewa buat peminat setelah sekian lama tidak muncul dengan produk terbaru.

“Kami lakukan penggambaran muzik video sekitar November tahun lalu. Suami saya yang arahkannya. Malah ketika selesai sesi rakaman pun, saya ada kongsikan lagu tersebut kepada dia.

“Saya ada beritahunya bila dengar lagu tersebut saya bayangkan sawah padi. Tak tahu kenapa. Jadi kami berkongsikan idea untuk hasilkan muzik video tersebut,” kata Yuna kepada MH.

Ditanya mengenai dari mana datangnya inspirasi terhadap lagu berkenaan, penyanyi ini memberitahu ketika dia menulis lagi itu, dia teringatkan negara sendiri.

“Jujurnya bila saya tulis lagu ini, saya terbayangkan kampung halaman. Rasa nak balik Malaysia sebabnya ketika saya tengah hasilkan Forevermore sekitar pertengahan tahun lalu ketika negara sedang dalam mood pilihan raya.

“Jadi saya mahu menulis lagu berkenaan dengan perpaduan ada elemen patriotik sikit dan semuanya boleh kaitkan dengan diri, misalnya cuba buat yang terbaik di dalam apa sahaja yang kita lakukan. Harap kalian sukakannya,” katanya lagi.

Sementara itu menjengah ke ruangan komen di YouTube terhadap muzik video berkenaan, rata-rata peminat dari dalam dan luar negara memberi respon positif.

Forevermore bakal diselitkan di dalam album keempatnya yang bakal dilancarkan tahun ini juga.

Foto: Instagram, YouTube Yuna

Apa Kata Anda