
Penyanyi dan komposer, Zubir Khan meluahkan rasa syukur apabila majlis pernikahannya bersama wanita pilihan hati, Dr. Heama Maleini, berlangsung dengan lancar pada Jumaat.
Sah sebagai suami isteri dengan hanya sekali lafaz, penyanyi lagu OMK itu menyifatkan detik tersebut sebagai momen paling bermakna dalam kehidupannya.

“Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dengan izin Allah. Dengan hanya sekali lafaz, saya sudah menjadi suami kepada Heama Maleini.
“Saya sangat gembira dan sukar untuk gambarkan perasaan ini,” katanya kepada MH.
Zubir berkata demikian ketika ditemui pada majlis akad nikah yang berlangsung di Bangi Golf Resort, Bangi, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Zubir turut berkongsi keistimewaan isterinya yang disifatkan sebagai insan yang sangat memahami serta sentiasa berada di sisinya dalam apa jua keadaan.

Tambah Zubir, kasih sayang yang diberikan Heama mengingatkannya kepada kasih seorang bapa, selain sentiasa membantu tanpa perlu diminta.
“Dalam percintaan kasih sayang itu merupakan perkara yang biasa. Namun, bila bersama Heama, saya mendapat kasih sayang seperti mana yang ayah saya pernah berikan.
“Heama telah menjadi tangan kanan saya. Seperti contoh, ada kalanya saya tak dapat nak ambil sesuatu barang, dia akan bantu saya tanpa perlu cakap atau minta tolong,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Dr. Heama turut meluahkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan lelaki yang disifatkannya setia serta sentiasa mengambil berat tentang dirinya.
Jelas Dr. Heama, sifat dimiliki Zubir mengingatkannya kepada keperibadian bapanya.

“Saya sangat teruja tapi pada awalnya saya agak berdebar juga. Ketika Zubir sedang melafazkan akad nikah, saya agak risau kerana biasanya akan ada lafaz kedua atau ketiga.
“Alhamdulillah Zubir dapat lakukannya dengan hanya sekali lafaz. Ketika ini, saya sangat bersyukur kerana dikurniakan suami yang setia dan mengambil berat. Pada saya, itulah hal paling utama dalam perkahwinan.
“Selepas bapa saya, saya mencari seorang lelaki yang setia dan saya bertemu dengan Zubir. Dia ialah kurniaan Tuhan kepada saya,” kongsinya.
Galas Amanah, Bimbing Isteri Langkah Demi Langkah
Dalam perkembangan sama, Zubir mengakui tanggungjawab sebagai suami, termasuk membimbing isterinya yang merupakan saudara baharu, merupakan amanah besar yang tidak boleh dipandang ringan.
Bagaimanapun, dia optimis untuk membimbing Heama secara berperingkat agar dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu mereka sebagai pasangan suami isteri.
Anda mungkin berminat dengan

“Tanggungjawab ini besar untuk saya. Ketika ini, saya anggap dia seperti bayi. Saya akan bimbing dan dia juga memang sudah bersedia untuk ikut saya. Tiada masalah pun.
“Kita bimbing secara perlahan-lahan dan ambil langkah demi langkah. Semuanya perlu mengambil masa. Jangan risau, saya akan bimbing dia,” akhirinya.
Terdahulu, Zubir dan Dr. Heama sah bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz pada Jumaat.
Pada majlis itu, Zubir dinikahkan oleh jurunikah merangkap Penolong Pendaftar Perkahwinan Daerah Hulu Langat, Abdul Aziz Abd Rahman.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

