Pelakon tersohor Hollywood, Demi Moore, diumumkan sebagai wanita paling cantik dunia tahun 2025 oleh majalah antarabangsa People, susulan kejayaan cemerlangnya menerusi filem The Substance.

Pelakon yang kini berusia 62 tahun itu mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi anugerah Golden Globe pertamanya menerusi lakonan dalam filem tersebut, sekali gus melonjakkan namanya kembali ke puncak industri perfileman.

The Substance turut dipuji kerana mengetengahkan isu imej tubuh dan kecantikan wanita secara mendalam, menyentuh perasaan ramai penonton, khususnya golongan wanita.

Demi Moore dalam wawancara bersama People berkongsi pengalaman peribadi apabila dirinya pernah melalui fasa menyeksa diri untuk tampil mengikut standard kecantikan tidak realistik.

“Ada ketika dahulu saya terlalu menghargai penampilan fizikal. Pernah saya berbasikal sejauh 26 batu dari Malibu ke Paramount semata-mata untuk kelihatan sempurna. Saya terlalu kejam terhadap tubuh sendiri dan seperti menghukum diri saya,” katanya.

Ads
Demi Moore Dinobat Wanita Tercantik Dunia 2025
Kredit foto: IG Demi Moore

BACA JUGA: Biarpun Sudah Bercerai, Demi Moore Tetap Rai Hari Lahir Bruce Willis

BACA JUGA: Demi Moore Rangkul Anugerah Pelakon Wanita Terbaik SAG Awards

Namun begitu, Moore mengakui semakin matang dan tenang dalam menerima perubahan fizikal seiring usia. Ibu kepada tiga anak itu menegaskan beliau kini lebih menghargai tubuhnya dan tidak lagi tertekan seperti dahulu.

Ads

“Ketika muda, saya rasa tubuh saya mengkhianati saya, lalu saya cuba mengawalnya. Tetapi sekarang tidak lagi. Hubungan saya dengan tubuh sendiri kini lebih harmoni,” ujar beliau.

Walaupun menerima gelaran wanita tercantik dunia dan sering dipuji kerana penampilan yang kekal muda, Demi Moore tidak menafikan bahawa beliau juga tidak terlepas daripada kebimbangan terhadap proses penuaan.

Ads

“Secara keseluruhan, kesihatan saya sangat baik. Tetapi itu tidak bermaksud saya tidak pernah melihat cermin dan berkata, ‘Ya Tuhan, saya kelihatan tua’, atau ‘Muka saya sudah berkerut’,” katanya secara jujur.

Bagaimanapun, bintang filem Ghost itu tetap bersikap terbuka dan menerima hakikat bahawa perubahan fizikal adalah sebahagian daripada kehidupan.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

 

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI