
Pelakon Ben Amir mengakui kehidupannya kini jauh lebih tenang selepas membuat keputusan untuk berpindah dan menetap di Pulau Siargao, Filipina.
Menurut Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, suasana damai dan bebas dari kesibukan kota menjadi antara faktor utama yang membuatkan dia jatuh cinta dengan kehidupan di pulau tersebut.
“Kehidupan sekarang lebih tenang sebab tinggal di pulau. Tiada kesesakan lalu lintas dan rasa hidup ini lebih bermakna.
“Bila bangun pagi, tiada rasa stress. Saya rasa ini perkara yang diidamkan oleh ramai orang. Alhamdulillah saya sudah jumpa tempat saya walau pun jauh.
“Sebenarnya tidaklah jauh sangat. Empat hingga ke lima jam boleh sampai ke Malaysia semula. Keluarga pun okay. Asalkan saya gembira, itu sudah cukup buat mereka,” katanya kepada MH.
Ben berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Gantung: Musketeer Code baru-baru ini.
Masih Berlakon, Rancang Buka Restoran
Walaupun kini menetap di luar negara, Ben menegaskan dia tidak akan meninggalkan kerjaya sebagai pelakon.
Sebaliknya, fokusnya kini lebih kepada projek filem yang memerlukan komitmen jangka pendek.
“Saya tidak berhenti berlakon cuma fokus saya kini lebih kepada filem. Kebiasaannya dalam masa setahun, kita akan terlibat dalam satu atau dua projek filem.
“Kalau kita gabungkan waktu tersebut, ia hanya akan memakan masa satu hingga dua bulan sahaja. Selama tempoh tersebut saya akan ada di Malaysia.
“Selebihnya saya akan berada di Pulau Siargao untuk fokus bisnes,” jelasnya lagi.
Ben turut meminta para peminat agar tidak terlalu bimbang dengan keputusannya berpindah ke Filipina.
“Jangan risau sangat. Apa yang saya buat ini adalah untuk kebaikkan mental dan fizikal saya. Saya harap peminat boleh faham.
“Anda tak perlu risau sebab saya tidak akan berhenti berlakon. Kalau nak jumpa saya, datanglah ke pawagam,” katanya lagi.
Menariknya, Ben mendedahkan dia berhasrat untuk menetap terus di pulau tersebut dan akan memulakan bisnes restoran halal setelah melihat peluang besar dalam segmen makanan untuk pelancong dan komuniti Muslim tempatan.
“Saya memang nak settle down di sana. Lagi pun saya nampak peluang bisnes yang baik. Di sana, tiada restoran halal. Ketika pertama kali datang, agak sukar untuk saya mencari makanan halal.
“Saya kena makan ikan hampir setiap hari. Jadi, saya nampak ini sebagai satu peluang. Di sana ramai juga pelancong dan orang tempatan beragama Islam.
“Bila mereka ke sana, masalah mereka hampir sama dengan saya iaitu susah mencari makanan halal,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Kredit Foto: Instagram Ben Amir
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI