
Ibu kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, iaitu Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, kini boleh menarik nafas lega selepas anaknya kekal dibebaskan daripada segala pertuduhan di mahkamah.
Menurut Mahani, dia dan keluarga kini boleh mula merancang persiapan hari bahagia Syed Saddiq bersama tunangnya, Bella Astillah.

Menanti Keputusan Sebelum Membuat Persiapan
Jelas Sharifah Mahani, keputusan untuk tidak membuat sebarang persiapan lebih awal adalah kerana seluruh keluarga mahu menunggu keputusan rayuan terakhir kes mahkamah membabitkan Syed Saddiq.

“Kami belum membuat sebarang persiapan kerana menunggu keputusan hari ini. Hari inilah penentunya. Sekarang barulah boleh fikir hendak ikat bunga telur, cari telur dan membuat persiapan lain.
“Sebelum ini memang tiada mood langsung kerana selagi perkara ini belum selesai, kami tidak mampu memikirkan soal majlis.
“Bayangkan jika keputusan hari ini tidak memihak kepada Saddiq, bagaimana perasaan kami?
“Saya juga tidak mahu mengecewakan keluarga Bella. Perkara ini bukan berlaku setahun dua, tetapi sudah berlarutan begitu lama,” katanya kepada MH.
Mahani berkata demikian ketika ditemui di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin.
Sepanjang proses mahkamah berlangsung, dia akui sentiasa dibelenggu kegusaran apabila mengenangkan nasib yang bakal menimpa anak kesayangannya.

“Memang saya tak tidur. Tak boleh makan juga. Orang kata kalau bercinta sampai tak mandi, tapi ini lain pula ceritanya.
“Syukur alhamdulillah, Saddiq dikelilingi insan-insan yang menyayanginya dan memahami segala pengorbanannya,” ujarnya lagi.
Kagumi Keikhlasan Bella
Dalam pada itu, Mahani turut kagumi akan keikhlasan hati Bella yang setia menemani anaknya dalam susah dan senang.

“Apa yang saya boleh katakan, bukan mudah untuk seseorang mendampingi Saddiq. Selama ini dia perlu turun naik mahkamah.
“Saya selalu tertanya-tanya, adakah dia akan bertemu pasangan yang sanggup berkorban dan melalui semua ini bersama-sama? Alhamdulillah, Bella sanggup.
“Sebab itu apabila orang bertanya bila majlis akan diadakan, saya tidak pernah memberikan jawapan kerana hanya menunggu keputusan mahkamah hari ini. Apabila keputusan memihak kepada Saddiq, hati saya sangat gembira,” kongsinya lagi.
Menurut Mahani, Bella disifatkan sebagai insan paling tepat untuk mendampingi Syed Saddiq sepanjang hayatnya.

Anda mungkin berminat dengan
“Insya-Allah, dengan izin Allah, mereka akan disatukan. Saya nampak Bella benar-benar berjuang bersama Saddiq.
“Dia bersama-sama mencari rezeki ketika Saddiq tidak mempunyai peruntukan dan sentiasa memberi kegembiraan kepada anak saya.
“Bagi saya, orang yang mampu membahagiakan anak saya itulah yang paling layak menjadi bakal menantu saya,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan berkaitan dana ARMADA Bersatu.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan bekas Menteri Belia dan Sukan tersebut kekal dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Untuk rekod, Syed Saddiq dan Bella Astillah mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

