
Pelakon Lorenzo Irmann tampil menjelaskan dakwaan yang mengaitkan dirinya sebagai individu yang pernah terbabit dalam kes buli ketika zaman persekolahan selepas namanya hangat diperkatakan di media sosial.
Isu tersebut tercetus susulan pendedahan seorang individu menerusi aplikasi Threads yang mendakwa pernah menjadi mangsa buli seorang pelakon yang kini bergandingan dengan heroin, Ezzanie Jazny dalam sebuah drama.

Dakwaan berkenaan menyebabkan ada warganet yang mengaitkan Lorenzo memandangkan dia kini membintangi drama Neraka Yang Terhijab bersama Ezzanie.
Bagaimanapun, Lorenzo menegaskan dakwaan berkenaan tidak benar dan menafikan dirinya tidak pernah membuli mana-mana pelajar ketika di sekolah.

“Pertama sekali, saya dapat tahu hal tersebut pada awal pagi. Saya tengah lihat platform media sosial. Tiba-tiba saya nampak satu hantaran macam ditujukan kepada saya.
“Karakter yang diceritakan itu macam sama seperti saya. Bila saya ingat semula, saya tak pernah buli orang, lebih-lebih lagi perempuan.
“Saya pun ambil tangkap layar habtaran itu dan kongsikan ke dalam grup kawan-kawan sekolah. Kemudian saya tanya, sejak bila pula saya buli orang?
“Kawan-kawan saya pun cuba bertanya kepada individu itu dan dia tidak memberikan respon,” katanya kepada MH.
Lorenzo berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengenalan kandungan baharu platform penstriman Viu yang berlangsung di Panggung Odeon, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Pengadu Jelaskan Lorenzo Bukan Individu Dimaksudkan
Menurut Lorenzo, pihak pengurusannya kemudian mengambil inisiatif menghubungi individu berkenaan bagi mendapatkan penjelasan, memandangkan namanya terus menjadi bualan di ruangan komen.

Katanya, individu tersebut akhirnya mengesahkan dia bukan pelakon yang dimaksudkan dalam dakwaan berkenaan
“Orang-orang yang komen di hantaran itu masih mengaitkan nama saya bila individu itu langsung tidak memberikan respon mengenai siapakah pembuli yang dimaksudkan.
“Bila hantaran itu sudah lama dan tontonan mencecah ratusan ribu, pihak pengurusan saya terpaksa DM dia. Jadi, dia pun mengaku pembuli tersebut bukan saya.
“Siapkah pembuli itu, saya pun tak tahu. Teruslah berteka teki. Yang pastinya bukan sayalah,” ujarnya lagi.
Terkilan Nama Dikaitkan Tanpa Bukti
Mengulas sama ada dia marah dengan situasi tersebut, Lorenzo tidak mengambil hati, sebaliknya menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang agak lucu.
Namun, dia tetap kurang selesa apabila ada pihak yang terus mengaitkan namanya tanpa mendapatkan kepastian.

Anda mungkin berminat dengan
“Saya rasa insiden ini kelakar. Saya tidaklah marah. Bila saya sudah tahu itu bukan saya, tiadalah saya nak rasa takut. Perasaan saya biasa sahaja.
“Cuma saya tidak selesa bila ada yang memberikan komen dan kaitkan nama saya tanpa usul periksa. Hal itu memburukkan imej saya,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Lorenzo bersyukur kerana setakat ini dia masih belum menerima serangan atau kecaman melampau di media sosial.
Malah, dia memuji sikap rata-rata netizen yang memilih untuk tidak membuat tuduhan secara terburu-buru.
“Setakat ini, tiada lagi. Di media sosial pun, mereka hanya syak dan tidak menuduh secara terus. Mereka tak nak komen lebih selagi tak kongsikan cerita sebenar.
“Bila mereka sudah tahu hal sebenar, mereka pun lega,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

