Pelakon dan usahawan terkenal, Baim Wong, berjaya memperoleh hak asuh penuh ke atas dua anaknya, Kiano Tiger Wong dan Kenzo El Drago Wong selepas keputusan Mahkamah Tinggi Agama DKI Jakarta pada 18 Jun lalu berpihak kepadanya.
Keputusan itu dibuat selepas panel hakim menilai Baim Wong sebagai individu yang lebih dekat secara emosional dan psikologi dengan anak-anak hasil perkahwinannya bersama model terkenal, Paula Verhoeven.
Menurut peguam mewakili Paula, Alvon Kurnia Palma, walaupun hak asuh diberikan kepada Baim, anak guamnya tetap mempunyai hak untuk bertemu dan berinteraksi dengan anak-anak mereka tanpa sebarang sekatan.
“Jika hak kunjungan itu dihalang atau tidak dipenuhi, pihak kami boleh membawa semula perkara ini ke mahkamah bagi memohon pembatalan hak asuh,” katanya kepada media tempatan.
Ads
Walaupun begitu, Peguam Baim Wong, Fahmi Bachmid berkongsi kepada media tempatan bahawa Paula dilarang untuk bertemu dengan anak-anaknya ketika mereka dalam sesi persekolahan. Selain itu pertemuan di waktu tengah malam juga tidak dibenarkan.
Dalam masa sama, mahkamah juga memutuskan bahawa Paula tidak terbukti melakukan nusyuz atau pengingkaran terhadap suaminya sebelum ini. Oleh itu, beliau masih berhak menerima nafkah iddah serta mut’ah daripada Baim Wong.
Pasangan selebriti itu sah bercerai pada awal tahun ini selepas lima tahun mendirikan rumah tangga. Mereka dikurniakan dua cahaya mata sepanjang tempoh perkahwinan.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon veteran Mano Maniam yang dikenali menerusi watak Uncle Chan dalam siri televisyen Kopitiam dilaporkan meninggal dunia pada usia 79 tahun.
Perkara itu disahkan oleh adik lelakinya, Madi Maniam ketika dihubungi Bernama.
“Pemergiannya disebabkan faktor usia dan berlaku secara semula jadi. Namun, butiran lanjut masih belum dimuktamadkan bersama pihak keluarga. Majlis pengebumian dijangka diadakan pada Isnin ini di Bliss Gardens, Shah Alam,” katanya.
Mano atau nama sebenarnya Manomaniam dilahirkan pada 15 November 1945 dan mula bergiat dalam dunia seni sejak 1965.
Beliau bukan sahaja aktif sebagai pelakon, malah turut terlibat sebagai pengarah, penulis, jurulatih lakonan dan pelakon suara.
Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, mendiang pernah membintangi beberapa naskhah antarabangsa seperti Anna and the King serta siri terbitan Netflix, Marco Polo.
Di peringkat tempatan, beliau aktif membintangi pelbagai drama berbahasa Inggeris dan Tamil serta turut menyumbangkan suara bagi watak Tok Din dalam siri animasi Kampung Boy (versi Bahasa Inggeris).
Selain itu, beliau pernah membintangi filem seperti Mat Gelap, Kolumpo, Hikayat Merong Mahawangsa dan Rentap.
Menerusi lakonannya dalam filem Mat Gelap, bakatnya diiktiraf apabila dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-9.
Mendiang juga dikenali sebagai seorang pendidik seni yang aktif memberikan tunjuk ajar dalam bidang lakonan, khususnya kepada warga emas, di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC).
Menurut Madi, Mano Maniam sepatutnya menerima satu anugerah khas malam ini di HGH Convention Hall, Sentul sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada masyarakat India dan pembangunan seni persembahan negara.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
“Hidup ini keras, keras sangat sehingga saya tak sangka masih boleh hidup hari ini dengan izin Allah.” Itu luah pengasas minuman kesihatan Maamy Mineral Essence (MME), Hasmah Mohamad atau lebih dikenali sebagai Maamy.
Perjalanan hidup Maamy tidak semudah yang disangka. Sebagai ibu tunggal kepada lima orang anak, beliau mengharungi pelbagai kesukaran sepanjang 16 tahun membina perniagaan sendiri.
Dikecam, difitnah dan dihina, semuanya menjadi asam garam kehidupannya selepas berpisah dengan suami.
“Kejayaan yang dikecapi dalam bisnes MME hari ini, tidak seindah yang orang lihat. Kesukaran hidup yang saya lalui hanya Allah yang tahu betapa peritnya rasa.
“Kejatuhan rumah tangga di saat saya bergantung sepenuhnya kepada bekas suami, buat saya terduduk dan hilang arah. Ditambah pula anak-anak masih kecil ketika itu.
“Anak-anaklah yang menyebabkan saya boleh berdiri sampai ke hari ini. Kalau bukan disebabkan anak, rasanya dah lama dah saya mati.
“Saya ni tak punya apa-apa. Saya tak ada kelulusan akademik, belajar sekolah pun tak ke mana apatah lagi harta. Cuma yang ada hanyalah semangat untuk membesarkan anak-anak.
“Sayalah ayah. Sayalah emak. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana saya membesarkan anak-anak di saat saya tiada apa-apa,” katanya.
Sejak aktif membuat siaran langsung di media sosial, terutamanya TikTok, Maamy yang juga ibu mentua kepada penyampai radio dan selebriti, Fizie Roslan sering menerima soalan mengenai rahsia kejayaannya dan bagaimana dia mengharungi kehidupan yang mencabar.
“Apa sahaja kita buat mestilah dengan hati yang ikhlas. Allah sentiasa bersama dengan orang yang benar. Mintalah apa sahaja dengan Allah.
“Apabila kita ‘jatuh meniarap’, Jangan kata masyarakat, adik beradik pun belum tentu ada untuk kita. Malah kita dihina apabila tiada apa-apa.
“Begitu juga dengan sahabat, mereka hilang ketika kita susah. Namun saya ada sahabat sejati yang sentiasa menyokong walau dalam apa keadaan sekali pun.
“Jadi, kita kena bangkit. Kalau dulu, saya pesan pada anak-anak, tak payah sekolah. Cukuplah sudah besar nanti jadi suri rumah sahaja.
“Pendirian itu berubah sama sekali selepas berpisah dengan bekas suami. Saya ingatkan anak-anak, ilmu sangat penting kerana itulah yang akan membantu kita apabila tiada apa-apa, di saat semua orang meninggalkan kita,” ujarnya lagi.
Selain memberi inspirasi kepada wanita lain untuk bangkit, Maamy turut berkongsi tentang kekuatan spiritual dan bagaimana hubungan dengan Allah menjadi tunjang utama dalam kehidupannya.
“Kepada wanita di luar sana, ingatlah Allah tak ubah nasib kita melainkan kita berusaha untuk menjadi lebih baik. Jangan berada di takuk lama atau bersedih dalam tempoh panjang. Bangkitlah.
“Apa pun yang berlaku, kehidupan perlu diteruskan dengan semangat yang kuat. Mungkin ia tidak mudah, tapi mohonlah, berdoalah agar kekuatan itu datang.
“Biarlah apa orang nak kata. Saya dulu tahan telinga sahaja apa orang cakap. Saya terus bekerja kuat. Ketika orang tidur saya masih lagi berjaga fikirkan bisnes,” katanya lagi.
MME ialah produk kesihatan yang dihasilkan daripada bahan semula jadi dari lautan Australia, kaya dengan zat galian (minerals) dan unsur surih yang tulen dan pekat.
Produk ini perlu diambil dengan air mineral dan memberi kesan menyegarkan tubuh, membantu tumpuan serta kelegaan fizikal.
“Khasiat atau kelebihan MME ini adalah anugerah Allah yang telah ditemui oleh saintis.
“Rupa-rupanya di dalam laut ni banyak khazanah Allah Ta’ala. 1001 satu macam khasiat. Cuma 92 daripada khasiat itu adalah untuk kesihatan manusia.
“Yang terbarunya, atas permintaan orang ramai, MME dikeluarkan dalam bentuk sachet. Ia sangat memudahkan pengguna untuk bawa ke mana sahaja.
“Alhamdulillah, selama 16 tahun khasiatnya terbukti. Apa yang membuatkan saya gembira apabila dapat membantu ramai orang sakit kembali sihat untuk menunaikan ibadah dengan lancar dan lebih selesa,” tambahnya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Wakil Filipina, Christine Juliane “CJ” Opiaza, kini secara rasmi dinobatkan sebagai Miss Grand International (MGI) 2024 selepas menggantikan penyandang terdahulu, Rachel Gupta dari India yang dilucutkan gelarannya.
Majlis penobatan rasmi CJ berlangsung meriah di Dewan MGI, Bangkok, Thailand, petang tadi dan disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube GrandTV.
Presiden dan pengasas MGI, Nawat Itsaragrisil, menyarungkan mahkota ke kepala Opiaza tepat jam 3:17 petang waktu Manila, diiringi dengan lagu kebangsaan Filipina.
Dalam linangan air mata, Cj menyifatkan kemenangan ini sebagai detik bersejarah buat negaranya.
“Detik ini begitu tidak nyata. Dahulu saya hanya calon yang penuh harapan, namun kini saya berdiri sebagai Miss Grand International 2024. Ini bukan sahaja kemenangan saya, tetapi kemenangan untuk seluruh rakyat Filipina,” katanya dalam ucapan sulung.
Wanita berusia 26 tahun itu turut mengenang detik lucu sewaktu beliau masih bergelar peserta, apabila pengasas MGI berseloroh bertanya “Filipina, kenapa lambat sangat?”.
Katanya, biarpun segala-galanya berlaku lewat, setiap perkara berlaku atas sebab yang terbaik dan tepat pada waktunya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada keluarganya, organisasi MGI, peminat dari Filipina, Thailand dan seluruh dunia serta pasukan rekaan busananya yang banyak memberi sokongan padu sepanjang perjalanan beliau dalam pertandingan tersebut.
“Saya tahu ini satu cabaran besar, tetapi saya sedia memikul tanggungjawab ini. Saya akan teruskan legasi Miss Grand International dan menjunjung nama Filipina setinggi mungkin,” tambahnya lagi.
Dalam bahasa ibundanya, CJ turut merakamkan penghargaan kepada penyokong-penyokong setianya yang sentiasa hadir bersorak dalam setiap persembahan pentasnya.
“Mabuhay sa lahat ng mga Filipino. Terima kasih tak terhingga atas sokongan kalian sejak awal lagi. Ini adalah kemenangan kita semua,” katanya penuh semangat.
CJ secara automatik menyandang gelaran Miss Grand International berdasarkan kontrak pertandingan yang menetapkan naib juara akan mengambil alih sekiranya pemenang asal gagal menjalankan tanggungjawabnya.
Menurut organisasi MGI, Rachel Gupta yang sebelum ini memenangi MGI 2024, dilucutkan gelaran berikutan kegagalannya menunaikan tugasan rasmi, terlibat dalam projek luar tanpa kebenaran serta enggan menyertai lawatan anjuran organisasi ke Guatemala.
Dalam temu bual bersama ABS-CBN News sebelum berangkat ke Bangkok, Opiaza berkata beliau sudah lama bersedia memikul tugas dan gelaran itu jika diberi peluang.
“Saya tandatangan kontrak sebagai naib juara, dan saya tahu tanggungjawab ini akan datang jika diperlukan. Kini masa itu telah tiba,” ujarnya yakin.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!