
Dunia kulinari antarabangsa dikejutkan dengan pemergian salah seorang ikon rancangan masakan Amerika Syarikat dan cef selebriti terkenal, Anne Burrell, yang disahkan meninggal dunia di kediamannya di Brooklyn pada pagi Selasa.
Anne, 55, merupakan figura penting dalam dunia gastronomi di kaca televisyen menerusi rancangan popular terbitan Food Network seperti Worst Cooks in America dan Secrets of a Restaurant Chef.
Selain itu, beliau juga pernah tampil dalam rancangan kompetitif Iron Chef America, yang melonjakkan lagi namanya sebagai antara cef wanita paling dikenali dalam dunia penyiaran Amerika.
Menurut laporan, Anne ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya awal pagi Selasa dan disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik. Sehingga kini, punca sebenar kematiannya masih belum diumumkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Pihak keluarga dalam satu kenyataan menyifatkan pemergian Burrell sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja buat mereka, malah seluruh dunia yang mengenali beliau.
“Anne merupakan isteri, anak, kakak, ibu tiri dan sahabat yang amat disayangi. Senyumannya mampu menerangi seisi ruang dan kasih sayangnya tiada batas,” kata wakil keluarga.
Anne Burrell mendirikan rumah tangga bersama Stuart Claxton pada tahun 2021 dan turut menjadi ibu tiri kepada anak lelaki Claxton, Javier. Pasangan itu dilaporkan menjalani kehidupan bahagia dan beliau masih aktif dalam dunia masakan serta televisyen sehingga kebelakangan ini.
Mewakili pihak rangkaian televisyen Food Network, seorang jurucakap menyampaikan rasa dukacita rangkaian tersebut terhadap pemergian figura hebat itu.
“Anne adalah seorang individu dan bakat kulinari yang luar biasa. Beliau sentiasa mengajar, bertanding, dan berkongsi betapa pentingnya makanan dalam hidupnya serta kegembiraan yang hadir daripada hidangan yang enak.
“Takziah kami ucapkan kepada keluarga, sahabat dan para peminat Anne pada saat kehilangan yang amat besar ini,” kongsi mereka.
Difahamkan, upacara penghormatan terakhir sedang dirancang secara tertutup oleh keluarga terdekat. Peminat dan rakan-rakan industri di seluruh dunia turut mengucapkan takziah dan berkongsi kenangan bersama mendiang menerusi laman sosial.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI