
Pelakon dan pelawak, Fad Bocey tampil mempertahankan para pempengaruh yang menjalankan sesi siaran langsung di media sosial, khususnya TikTok, selepas dilabel segelintir netizen sebagai ‘pengemis moden’.
Menurut Fad atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, kerja mengendalikan live bukanlah semudah yang disangka kerana ia memerlukan kreativiti dan komitmen tinggi.
“Ada yang kata, orang yang buat live di TikTok ini pengemis moden. Saya sebenarnya sangat kagum dengan para pempengaruh yang buat sesi live ni.
“Orang melihat mereka ini seperti senang buat duit. Hanya duduk dan bercakap sahaja. Cubalah anda buat dahulu.
“Mampu atau tidak anda bercakap di hadapan kamera dalam jangka masa yang panjang dan tarik perhatian penonton untuk dengar apa yang kita bualkan?
“Perkara itu sangat susah. Itu adalah komitmen masing-masing,” katanya ketika menjadi tetamu di Dol’s Podcast baru-baru ini.
Kecaman Netizen Hanya Kerana Dengki?
Tambah Fad, komen negatif yang dilemparkan terhadap mereka yang aktif dalam sesi live biasanya datang daripada golongan yang cemburu dengan kejayaan orang lain.
Baginya, jika seseorang tidak mengganggu hidup orang lain atau memaksa untuk mendapatkan sumbangan, maka tidak wajar dihukum hanya kerana memilih platform digital untuk mencari rezeki.
“Selalunya yang bercakap ini, mereka tiada kena mengena dan tak pernah bagi gift pun. Pada saya, mereka ini lebih kepada sakit mata.
“Sebelum para influencer ini berjaya buat duit, tanya dahulu apa susah payah yang sudah mereka lalui. Ada yang berusaha cari konten, menyanyi setiap hari dan macam-macam lagi.
“Terpulanglah orang nak cakap apa pun. Selagi kita tak menyusahkan atau ketuk pintu rumah orang dan cekak belakang leher minta gift, pada saya itu bukan masalah,” ujarnya lagi.
Fad juga menyatakan, sesi live turut membuka ruang untuk berinteraksi dengan peminat serta mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan industri.
Katanya, kemunculan dalam media arus perdana semakin terhad dan platform digital seperti TikTok menjadi saluran baru untuk terus relevan.
“Pedulilah apa orang nak kata. Kenapa nak malu pula kalau muka saya muncul di Tik Tok hari-hari? Saya bukan buat benda salah,” katanya.
Terdahulu, isu tersebut timbul selepas beberapa pempengaruh dikecam kerana membuat cabaran melampau semasa siaran langsung demi menarik perhatian penonton.
Ia bagaimanapun dikhuatiri boleh memberi pengaruh buruk kepada golongan muda.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Fad Bocey & Dol’s Podcast
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI