Hiburan

Ibu Julia Perez Menangis Mohon Raffi Ahmad Beli Apartmen Peninggalan Anaknya

Share

Ibu Julia Perez, Sri Wulansih tidak dapat menahan air mata ketika mengenang pesanan terakhir arwah anaknya yang popular dikenali sebagai Jupe, dalam satu wawancara yang tular di media sosial.

Dalam keadaan sebak, beliau menyuarakan harapan agar selebriti terkenal, Raffi Ahmad mempertimbangkan untuk membeli salah satu unit apartmen peninggalan arwah anaknya itu.

Permintaan tersebut dibuat berdasarkan kepercayaan mendalam Jupe terhadap Raffi Ahmad, khususnya ketika berada di saat-saat akhir hayatnya apabila arwah pernah berpesan agar ibunya menghubungi Raffi sekiranya berlaku sebarang perkara.

Sri Wulansih turut berkongsi bahawa Raffi Ahmad masih menunjukkan keprihatinan apabila menghubunginya pada 17 Ogos lalu dan menghulurkan bantuan kewangan.

Bantuan tersebut disifatkan amat bermakna dan telah digunakan bagi membaiki musala peninggalan Jupe di Serang.

Ketika hidup Julia terkenal sebagai artis sensasi dan sangat mengambil berat hal keluarga.

BACA JUGA: Hampir Menangis Atas Pentas, Zaskia Gotik & Ayu Ting Ting Sebak Kenang Allahyarhamah Julia Perez

Dalam masa sama, beban kewangan menjadi antara faktor utama Sri Wulansih berhasrat menjual salah satu daripada dua unit apartmen milik arwah anaknya itu yang tidak lagi digunakan sejak lapan tahun lalu.

Beliau menjelaskan bahawa setiap tiga bulan perlu menanggung bayaran caj penyelenggaraan bagi kedua-dua unit apartmen tersebut yang mencecah sehingga Rp6 juta, sedangkan beliau kini tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Hasil jualan apartmen berkenaan dirancang untuk menampung pelbagai keperluan termasuk kos pembaikan rumah singgah, manakala satu lagi unit akan dikekalkan dan disewakan.

Sri Wulansih juga telah menghubungi Raffi Ahmad menerusi panggilan video bagi menyampaikan hasrat tersebut secara langsung. Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada sebarang keputusan rasmi daripada pihak Raffi Ahmad berhubung permintaan berkenaan.

Untuk rekod, Julia Perez yang merupakan pelakon, penyanyi dangdut dan pengacara terkenal Indonesia meninggal dunia pada 10 Jun 2017 selepas tiga tahun bertarung dengan penyakit kanser serviks tahap empat.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Sumber: CNN Indonesia 

Published by
MFA