
Pelakon dan pengacara ,Fikry Ibrahim menepis dakwaan kononnya rumah tangganya bersama isteri, Siti Khalizah Alihan kini sedang berdepan ujian.
Menurut Fikry, hanya disebabkan dia dan isteri tidak memuat naik gambar bersama ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini, ada yang telah membuat spekulasi sendiri.

“Yang kata hubungan kami berantakan, itu adalah perkara yang salah. Pada saya, itu hanyalah spekulasi. Hal ini mungkin timbul disebabkan kami tidak berkongsi gambar bersama ketika hari raya, baru-baru ini.
“Kalau anda sendiri boleh lihat, bila kali terakhir saya muat naik gambar bersama ibu saya? Adakah itu menandakan saya bergaduh dengan ibu saya? Tidak sama sekali.
“Saya dan isteri merasakan lebih elok kami tidak berkongsi gambar. Kami ada sahaja ambil gambar bersama. Jika lihat posting di media sosial, gambar kami bersama masih lagi ada,” katanya kepada MH.
Pengacara program Melodi itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Libang Libu yang berlangsung di TGV Mid Valley, Kuala Lumpur pada Khamis.
Filem Libang Libu arahan Bobby Husaini itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 23 April ini.
Bersebab Sambut Raya Berasingan
Sementara itu, Fikry mengakui dia dan isteri memang menyambut hari raya tahun ini secata berasingan kerana dia terpaksa menjaga ibunya bagi menggantikan bapa saudaranya yang sakit strok.

“Saya agak terkejut bila berita sebegini keluar. Sebab itu saya hanya ketawa sahaja. Kami memang menyambut raya berasingan. Tahun ini, memang giliran rumah isteri saya.
“Cuma tahun ini, saya perlu menjaga ibu saya. Bapa saudara saya tidak sihat dan diserang strok. Jadi, saya mengizinkan isteri saya balik ke Sarawak untuk beraya bersama keluarganya.
“Selepas sambutan hari raya, kita kembali berjumpa. Malah, sebelum hari raya, kita ada beli baju raya bersama,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Fikry turut menafikan sekeras-kerasnya khabar angin yang mendakwa dia mempunyai hubungan sulit dengan seorang jurusolek.

“Saya baca sahaja komen-komen netizen di Threads. Saya ingatkan aplikasi X itu sudah teruk, rupanya Threads lagi toksik. Ada golongan makcik-makcik yang kata saya bercinta dengan make up artis.
“Pada saya, berita itu sangat mengarut dan merepek. Ada perkara yang kita boleh bagi ruang untuk orang bercakap. Kalau melampau sangat, saya juga ada hak untuk bersuara.
“Namun, sejak daripad- dahulu lagi, jika ada hal-hal yang tidak melibatkan saya, saya memang tidak akan memberikan pandangan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Fikry akui bersyukur kerana dikurniakan keluarga dan mentua yang sangat memahami situasi sebagai anak seni yang sering menjadi perhatian.
Anda mungkin berminat dengan

“Alhamdulillah keluarga saya dan mentua sangat matang dan terbuka. Saya juga ingin memberikan pujian kepada mak mentua saya yang selalu mendoakan saya.
“Namun, sebelum apa-apa yang berlaku, saya akan maklumkan dahulu kepada ibu mentua. Bila dia tahu lebih awal, tidaklah dia kelam kabut.
“Komen sebegitu memang saya boleh hadap sejak dahulu lagi. Cuma saya risau jika tekanan itu diberikan kepada keluarga dan mereka tidak mampu tanggung. Jadi, saya akan jelaskan seawal mungkin,” akhirinya.
Sekadar informasi, Fikry dan Khalizah mendirikan rumah tangga pada 12 Februari 2025.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

