
Penyanyi dan penulis lagu, Nuha Bahrin, yang dikenali menerusi lagu hit Casablanca kini kembali dengan single terbaharunya berjudul Malam-Malam, hasil kolaborasi bersama Ezra Kong di bawah projek kreatifnya, Mimpi.
Menggabungkan elemen bunyian Arabic dan Spanish dengan sentuhan moden pop Melayu, Malam-Malam membawa pendengar menyelami suasana yang tenang namun sarat emosi.
Lagu ini mengangkat tema kerinduan, mengisahkan dua insan yang pernah berkongsi waktu bersama di bawah cahaya bulan, namun kini hanya tinggal kenangan.
Dalam karya ini, bulan menjadi simbol masa dan detik yang tidak dapat diulang dan ‘Malam – Malam’ pula menggambarkan kontras antara kebahagiaan kebersamaan dan kekosongan akibat perpisahan, menjadikannya dekat dengan jiwa pendengar.
Single ini turut menandakan fasa baharu buat Ezra Kong melalui Projek Mimpi iaitu sebuah ruang kreatif untuknya bereksperimen dan menghasilkan karya yang lebih jujur.
“Ia adalah projek baru yang dimulakan sebagai ruang untuk semua penulisan saya ke hadapan. Ia menjadi tempat kolaborasi bersama artis, label, dan A&R untuk menyampaikan karya yang lebih jujur dan dekat di hati saya.
“Melalui projek seperti Malam-malam ini, saya membawa pendekatan berbeza dari segi sound, susunan, dan lirik mencari titik temu antara citarasa saya dan jiwa artis itu sendiri,” kata Ezra.

Visual Puitis Menguatkan Naratif
Sementara itu bagi Nuha, lagu ini membawa makna yang sangat peribadi, termasuk kerinduan terhadap diri sendiri.
“Saya relate dengan lagu ini bila teringat versi diri lama. Malam-malam selalunya buat saya rasa overthink dan ingat semua kesilapan serta rasa rindu pada diri sendiri yang dulu yang lebih yakin dan lebih carefree.
“Kadang-kadang kita lupa bagaimana untuk tidak terlalu peduli dengan pandangan orang lain, dan saya sangat rindukan perasaan itu,” katanya.
Dalam menyampaikan emosi lagu ini, Nuha turut menekankan kejujuran dalam vokalnya, selari dengan nuansa muzik yang unik.
“Saya cuba keluarkan rasa rindu itu dengan cara yang lebih ‘raw’ dan jujur. Ada sedikit rasa geram, seperti tertanya ‘kenapa you tiba-tiba hilang?’
“Jadi dalam penyampaian saya cuba untuk seimbangkan kelembutan dengan sedikit emosi dan longing supaya pendengar benar-benar dapat rasa kekosongan itu,” katanya lagi.
Anda mungkin berminat dengan
Melengkapkan lagi naratif lagu ini, muzik video lagi ini turut menampilkan konsep visual yang puitis dan penuh simbolik.
Ia mengisahkan seorang wanita yang masih terperangkap dalam kenangan cinta yang telah hilang. Digambarkan seolah-olah dua dunia selari wujud dalam ruang yang sama, watak lelaki hadir dalam setiap momen… hampir disentuh, hampir bersama, namun tidak pernah benar-benar wujud.
Seiring perkembangan cerita, penonton akhirnya akan menyedari bahawa kehadiran itu hanyalah bayangan memori dan perasaan rindu yang belum terlerai, sekali gus menguatkan tema kehilangan dan kesunyian yang menjadi inti pati lagu ini.
Malam Malam sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula hari ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

