Categories: Berita Hiburan

“Alhamdulillah Berjalan Dengan Baik,” – Walau Jadual Padat, Syed Saddiq Tetap Fokus Persiapan Majlis Nikah…Dijangka Dalam Beberapa Bulan Lagi

Share

Ahli Parlimen Muar yang juga pempengaruh, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan persiapan majlis pernikahan bersama tunangnya, penyanyi dan pelakon Bella Astillah, berjalan dengan baik mengikut perancangan.

Saddiq, 34, berkata walau di sebalik kesibukan kerja, kedua-keduanya tetap komited memastikan segala perancangan menuju hari bahagia itu berjalan lancar.

“Sama seperti proses persiapan pertunangan, perkara ini lazimnya dibincangkan bersama keluarga. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik seperti yang telah saya kongsikan sebelum ini.

“Apa yang paling penting bagi saya adalah memastikan Bella dan keluarganya berasa gembira. Dia merupakan tunang saya dan saya mahu memastikan segala perancangan berjalan lancar.

“Kami juga mempunyai komitmen kerja masing-masing, saya di Parlimen dan kawasan Muar, manakala Bella pula sering bergerak sana-sini.

“Namun di sebalik jadual yang padat, kami tetap meneruskan perancangan untuk majlis akad nikah dan perkahwinan yang dijangka berlangsung dalam beberapa bulan akan datang, insya-Allah sebelum akhir tahun,” katanya.

Saddiq berkata demikian ketika ditemui sejurus merasmikan Anugerah Aspirasi PTTI 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Ahad.

Ditanya mengenai tarikh majlis akad nikah, Saddiq menjelaskan perkara tersebut masih dirahsiakan buat masa ini dan hanya akan diumumkan apabila tiba waktu yang sesuai.

“Lazimnya perkara ini dibincangkan dalam kalangan keluarga terlebih dahulu. Bila tiba masanya, jangan risau, pertunangan dan pernikahan ini bukan untuk disembunyikan, kami akan kongsikan berita gembira itu nanti,” katanya lagi.

Cabaran Menuju Alam Perkahwinan

Saddiq pada masa sama turut menjelaskan, dia dan penyanyi lagu Lebih Indah Berpisah itu kini berada dalam fasa menyesuaikan diri dengan komitmen masing-masing.

“Saya rasa apabila kedua-duanya sibuk bekerja, kadangkala itu satu perkara yang baik kerana dengan komitmen masing-masing, kita masih mencari jalan tengah untuk mendedikasikan masa kepada keluarga.

“Ini juga satu ujian supaya pada masa akan datang, seperti yang saya kongsikan, saya mahu menjadi bakal suami yang baik.

“Jika tunang saya memilih untuk terus berkerjaya sebagai penyanyi, pelakon atau duta jenama, yang pastinya jadualnya juga padat, keluarga tetap perlu dijaga.

“Kita perlu berkongsi tanggungjawab, termasuk urusan rumah tangga dan juga membesarkan anak-anak kelak.

“Semua ini adalah perkara yang sedang kami pelajari sedikit demi sedikit sepanjang melalui proses menuju perkahwinan ini,” katanya.

Sebagai informasi, Saddiq dan Bella selamat mengikat tali pertunangan pada 28 Mac 2026.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
MH