
Pelakon Uqasha Senrose mengakui teruja apabila diberi peluang bergandingan dengan pelakon berbakat besar seperti Elisya Sandha dan Aliff Aziz menerusi drama sensasi, berjudul Madu Atau Racun.
Menurut Uqasha, kerjasama bersama kedua-dua pelakon itu memberikan pengalaman yang cukup bermakna kerana masing-masing memahami tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan.

“Alhamdulillah saya dapat bergandingan dengan rakan pelakon yang sangat hebat. Saya sangat kagum dengan kemampuan Elisya sebagai seorang pelakon.
“Aliff Aziz juga begitu. Ini merupakan kali pertama kami bertiga digandingkan bersama. Kedua-dua mereka tahu peranan masing-masing.
“Tidak susah untuk kami bekerjasama. Kami juga dibantu oleh pengarah, Eyra Rahman. Beliau yang menjelaskan mengenai peranan kami di dalam drama ini.
“Beliau sangat menjaga karya ini dan akan pastikan tiada siapa yang akan over shadow pelakon lain. Alhamdulillah saya dapat bekerja dengan pelakon yang profesional,” katanya kepada MH.
Uqasha berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media drama Madu Atau Racun, baru-baru ini.
Watak Azura Uji Emosi, Perubahan Fizikal Jadi Bukti Cabaran
Berkongsi mengenai cabaran menjayakan watak Azura, ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata perubahan fizikal yang dilaluinya sudah cukup membuktikan bahawa naskhah berkenaan amat berat dan mencabar kemampuannya sebagai pelakon.

“Cabaran berlakon di dalam drama bermula daripada badan saya berisi sehinggalah sudah kurus. Jika ada yang perasan babak-babak di dalam drama ini, ada ketika saya berisi dan ada masa saya nampak kecil.
“Saya terlalu berusaha untuk berikan yang terbaik. Setiap naskhah yang kita terima itu adalah amanah. Saya dapat rasakan kesakitan Azura itu.
“Saya sangat kesihan dengan apa yang terpaksa Azura hadapi. Mungkin Azura punyai masa lampau yang tidak baik. Bila Allah berikan peluang kedua, ada pula cabaran lain yang dia kena hadapi.
“Drama ini menunjukkan tak semestinya yang memakai tudung itu baik. Begitu juga dengan watak Nikita. Karya ini mengetengahkan isu kemanusiaan dan realiti yang berlaku di sekeliling kita tapi ramai tak tahu,” ujarnya lagi.
Baca Artikel Lain;
Paparkan Realiti Kehidupan Mengejutkan
Dalam masa sama, Uqasha mengakui drama berkenaan turut menuntut kekuatan emosi yang tinggi memandangkan banyak babak berat perlu dilakonkan.

“Sudah pasti drama ini menuntut emosi yang sangat berat. Ada kalanya emosi saya penat juga. Ada hari kita kena lakonkan babak menangis, dipukul dan diheret.
Anda mungkin berminat dengan
“Tiba-tiba kita kena gembira semula. Bila mata sudah bengkak, kita buat babak romantis pula. Lagipun, kita hanya manusia biasa,” katanya lagi.
Menurut Uqasha, selain sarat dengan pengajaran, drama Madu Atau Racun turut memaparkan pelbagai realiti yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Bila saya terima naskhah ini, ia merupakan satu pengajaran juga buat saya. Saya banyak belajar tentang perkara yang saya tidak sangka ia boleh berlaku.
“Dalam hidup ini, tiada apa yang mustahil. Perkara yang kita tak sangka itulah yang menjadi plot twist. Ini adalah peringatan untuk semua yang menonton,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

