
Pelakon Zahida Rafik mendedahkan dirinya sudah lama meninggalkan dunia seni dan buat masa ini belum mempunyai sebarang perancangan untuk kembali bergiat aktif dalam bidang lakonan.
Bagaimanapun, Zahida menjelaskan hubungannya bersama rakan-rakan artis dan peminat masih akrab, malah mereka saling memberikan sokongan antara satu sama lain.
“Saya memang sudah lama meninggalkan dunia seni. Tapi, saya masih berjumpa dengan rakan-rakan industri. Jika ada masa, saya akan luangkan bersama mereka. Mereka sentiasa ada bersama saya,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Mami Jarum itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Khatam al-Quran, Bacaan Yasin dan Tahlil untuk Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Musollah Aisya, Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, Zahida mengakui masih menerima beberapa tawaran untuk kembali ke set penggambaran sehingga kini.
Bagaimanapun, kekangan terhadap komitmen lain membuatkan dirinya sukar untuk memberikan persetujuan untuk memberikan sepenuh komitmen terhadap lakonan.
“Saya masih menerima beberapa tawaran namun ketika ini, saya ada banyak komitmen. Agak sukar untuk saya membahagikan masa dan memikirkan jadual penggambaran.
“Untuk berada di set penggambaran dan tak tahu bila jadual pulang, ia agak memeningkan. Ketika ini, semua pihak sudah faham. Mereka tidak lagi memberikan tawaran kepada saya.
“Orang-orang terdekat pun tahu perangai saya. Walaupun kita sudah berjanji, akhirnya tidak akan menjadi.
“Erma Fatima misalnya, banyak kali memberikan tawaran tapi dia tahu saya tidak akan terima,” ujarnya lagi.
Baca Artikel Lain;

Zahida Pilih Fokus Keluarga
Zahida menambah, buat masa ini dia lebih banyak menguruskan keluarga, terutama orang tuanya yang sudah lanjut usia.
“Fokus saya ketika ini adalah pada keluarga. Saya juga perlu menjaga orang tua saya yang sudah tua. Merekalah komitmen saya. Saya pantau dan menjaga rutin mereka,” kongsinya.
Ditanya sama ada dia mungkin berubah fikiran dan kembali aktif dalam dunia seni suatu hari nanti, Zahida belum mampu untuk memberikan sebarang janji.
Anda mungkin berminat dengan
Sebaliknya, dia mengakui dirinya masih dekat dengan dunia seni menerusi hubungan yang terjalin bersama rakan-rakan industri.
“Saya pun tak boleh nak berikan jawapan atau berjanji. Namun, saya masih lagi aktif dalam persekitaran industri seni. Saya tidak menghilang terus atau terputus hubungan.
“Saya masih jumpa semua orang dan sayang mereka,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

