
Pelakon Aliff Aziz mengakui dirinya berasa gemuruh ketika menjayakan malam previu pementasan teater muzikal Mansur & Liu yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada Rabu.
Optimis mahu membawakan watak utama sebagai Sultan Mansur dengan baik, Aliff bagaimanapun bersyukur kerana dikelilingi barisan pelakon yang sentiasa memberikan sokongan bagi memastikan pementasan sulung itu berjalan dengan lancar.

“Menipulah kalau kata saya tak gemuruh. Namun, seiring perjalanan pementasan ini, alhamdulillah saya rasa lebih tenang.
“Bila di atas pentas, saya dapat merasakan energi lebih-lebih lagi bila bersama rakan-rakan pelakon yang sudah sekian lama kita berlatih bersama.
“Kita sokong antara satu sama lain dan kita serap energi itu. Ia membuatkan kita lebih bertenang,” katanya kepada MH.
Persiapan Dua Bulan Beri Hasil, Mohon Doa
Kualiti lakonan dan vokalnya yang menerima pujian ramai membuatkan Aliff berasa amat bersyukur apabila segala persiapan rapi selama dua bulan akhirnya membuahkan hasil.

“Selama dua bulan, kita ada jalani latihan vokal, lakonan dan macam-macam lagi ilmu teater. Sejujurnya, ia bukan mudah.
“Jadi, saya minta anda semua untuk mendoakan yang terbaik terutamanya dari segi, stamina, kesihatan dan dielakkan daripada kecederaan buat kami semua.
“Kita ada banyak lagi pementasan. Kami harus kekal bersemangat bagi menampilkan persembahan yang memuaskan hati penonton khususnya peminat teater,” ujarnya.
Cabaran & Ekspektasi Tinggi Jadi Motivasi
Mengulas mengenai cabaran membawakan watak Sultan Mansur, penyanyi lagu Sayang Sayang itu menyifatkan setiap dugaan sebagai lumrah dalam kehidupan seorang anak seni.

“Ada banyak cabaran yang harus saya hadapi. Pada saya, tiada perkara yang mudah dalam apa jua pekerjaan. Pasti akan ada cabaran-cabaran tertentu.
“Perjalanan itu berwarna-warni untuk kita semua. Saya tidak mahu ceritakan cabaran itu secara spesifik. Kita masih lagi di peringkat awal. Ada banyak lagi pementasan yang akan dijalankan.
“Kami barisan pelakon akan perkemaskan lagi pesembahan kami di pementasan yang akan datang,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai ekspektasi tinggi yang diletakkan oleh pengarah yang juga penyanyi legenda, Datuk M. Nasir, Aliff menegaskan perkara tersebut bukanlah satu tekanan, sebaliknya menjadi pembakar semangat buat seluruh barisan pelakon dan kru untuk memberikan persembahan terbaik.
Anda mungkin berminat dengan

“Alhamdulillah, Datuk M. Nasir dan Datin Marlia Musa ibarat figura ibu bapa buat kami semua. Walaupun kita tahu ekspektasi mereka sangat tinggi, namun mereka tidaklah terlalu memberikan tekanan sampai kita penat.
“Mereka membuatkan kami rasa lebih bersemangat untuk membanggakan mereka. Ini adalah karya pertama mereka dan untuk terlibat di sebuah projek yang besar, saya sangat berbesar hati,” akhirinya.
Terdahulu, teater muzikal Mansur & Liu bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 10 hingga 20 September ini.
Selain Aliff, pementasan tersebut turut dibintangi barisan pelakon seperti Melinda Dadew, Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama dan ramai lagi.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

