
Wendy Wong & Nancie Foo
Penerbit terkenal, Datin Wendy Wong dan sahabatnya, Datuk Nancie Foo, masing-masing menerima pengiktirafan khas pada acara W.I.S.H. Global Leadership Summit & Women Leadership Awards 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Detik bersejarah itu turut dikongsikan menerusi media sosial mereka beberapa hari lalu dengan memuat naik beberapa keping gambar ketika meraikan kejayaan bersama rakan artis dan kenalan rapat.
Nancie yang juga penerbit bersama serta sudah lebih tiga dekad terbabit dalam dunia seni dan kini aktif di belakang tabir selain persatuan seni, menerima W.I.S.H Lifetime Legacy Award.
Sementara Wendy pula menerima W.I.S.H International Influential Film Producer, Director & Writer Award.
Nancie yang turut dikenali menerusi drama kepolisan, Gerak Khas mengakui terharu menerima pengiktirafan tersebut.
“Anugerah ini menyuntik semangat kami, tidak hanya kami malah seluruh karyawan seni untuk terus berkarya serta berusaha gigih untuk membawa naskhah kita ke peringkat antarabangsa.
“Setiap penerima mempunyai kelebihan dan merupakan ikon seni dalam bidang masing-masing,” katanya.
Nancie turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, kenalan dan terutama Wendy yang sentiasa memberi galakan serta inspirasi untuk terus aktif dalam bidang seni.
Dalam pada itu, Wendy pula tidak menyangka akan menerima anugerah berkenaan, apatah lagi ketika karya terbaharu terbitan mereka berjudul Last Dive bakal ditayangkan tidak lama lagi.
“Saya tak sangka boleh terima sebelum naskhah terbaru kami bakal ditayangkan di layar perak. Kami sememangnya sudah terbabit dalam dunia seni agak lama.
“Anugerah ini menyuntik semangat untuk terus berkarya. Sebelum ini ada yang bertanya kenapa masih aktif dalam bidang seni.
“Jawapannya kerana kami merasakan mempunyai platform istimewa untuk memberi didikan, ‘enhance’ (meningkat pengalaman penonton) hingga mencatat rating tinggi bagi sesuatu program.
“Sebagai contoh, ketika menghasilkan siri televisyen seperti Kisah Benar suatu masa dulu yang mendapat respon positif penonton. Ada banyak mesej yang jelas disampaikan pada penonton dan memberi pengajaran yang baik,” katanya.
Baca Artikel Lain;
Menurut Wendy, dia dan Nancie berhasrat meninggalkan legasi bermakna dalam industri seni sebelum bersara.
“Sebelum Covid-19, Nancie ada memikirkan untuk bersara dalam dunia seni.
“Bagaimanapun saya meyakinkannya untuk tampil dengan sebuah filem berjudul Sumpahan Jerunei. lalu naskhah tersebut terima pelbagai respon yang baik.
“Ia secara tak langsung terus melonjakkan semangat kami untuk tampil dengan naskhah yang memberi impak kepada penonton selepas ini,” katanya.
Terdahulu, beberapa selebriti dan tokoh dalam bidang masing-masing turut menerima pengiktirafan pada malam berprestij itu.
Antaranya ialah penyanyi legenda Datuk Khatijah Ibrahim menerusi W.I.S.H Lifetime Legacy Award, Dr Jessie Chung (W.I.S.H Global Excellence In Performing Arts, Entrepreneurship & Humanitarian Leadership Award), Dr Ezany Nizariff (W.I.S.H The Global Luminary Award For Outstanding Leadership, Innovation & Multidisciplinary Excellence) serta Datuk Wira Dr Azizan Osman (W.I.S.H Chairman Award for Outstanding Contribution to Women Entrepreneurship & Nation Building).
Majlis itu turut dimeriahkan dengan pertunjukan fesyen daripada beberapa pereka terkenal serta persembahan artis jemputan.
Menerusi acara sama, Khatijah Ibrahim turut menyampaikan lagu single terbaharunya berjudul Ibu Doa buat julung kali, manakala penyanyi dan penulis lirik Aiman Sidek pula mempersembahkan lagu Menemukanmu, runut bunyi filem Last Dive.
Acara berkenaan turut diserikan dengan kehadiran isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, isteri kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Hamidah Khamis, Pengerusi W.I.S.H. 2026, Datin Seri Nurulhidayah Ahmad Zahid serta Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Sri Hajah Rohani Abdul Karim.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.