
Penyanyi Wani Kayrie menyifatkan penampilannya di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), Sabtu ini sebagai momen cukup bermakna apabila bakal menggunakan mikrofon pertamanya yang dibeli pada tahun 2019.
Menurut Wani, mikrofon tersebut kini tampil dengan wajah dan semangat baharu selepas melalui proses transformasi yang diusahakan sendiri hasil titik peluhnya.
“Microphone pertama yang saya beli pada tahun 2019, kini dengan wajah dan semangat baru hasil usaha keras dan titik peluh sendiri, akan saya gunakan sebagai penampilan pertama saya di pentas AJL 40 Sabtu ini,” kongsinya.
Perkara itu dikongsikan Wani itu menerusi satu hantaran terkininya di Threads.
Tambah Wani lagi, walaupun perkara tersebut mungkin kelihatan kecil pada pandangan orang lain, namun ia membawa makna yang sangat besar dalam perjalanan kerjayanya sebagai anak seni.
Malah penyanyi lagu Nyam Nyam Ketupat itu turut merakamkan penghargaan kepada semua individu yang sentiasa menyokong dan mempercayai bakatnya sepanjang bergelar penyanyi.
“Perkara ini mungkin kecil, namun bagi saya ia adalah sesuatu yang sangat besar dan bermakna.
“Terima kasih semua insan yang masih percaya dan berdiri teguh dengan bakat saya, bersama saya hingga ke saat ini. Cak Cak Cekuk, Bismillah,” kongsinya lagi.
AJL40 yang bertemakan Meraikan 4 Dekad Evolusi dan Masa Depan dengan mesej Love Your Legacy, Elevate Your Future bakal berlangsung pada 15 Ogos di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Cak Cak Cekuk merupakan lagu etnik kreatif yang diilhamkan daripada elemen lagu rakyat lama, hasil ciptaan komposer Karim Karam dan penulis lirik, Shane.
Malam kemuncak AJL40 akan dihoskan oleh Naz Rahman dan Sissy Iman.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.