
Pengarah dan pelakon prolifik, Tyler Perry berdepan dakwaan serius melibatkan gangguan serta serangan seksual terhadap pelakon, Derek Dixon, yang turut menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya AS$260 juta (RM1.2 bilion).
Memetik laporan The Hollywood Reporter, Derek memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Los Angeles pada Jumaat lalu dengan mendakwa insiden gangguan tersebut berlaku berulang kali sejak tahun 2021 ketika beliau berlakon dalam produksi terbitan Perry.
Antara dakwaan utama termasuk insiden Tyler didakwa menyelinap masuk ke bilik dan cuba mencabulnya selepas pelakon itu bersetuju bermalam di kediaman Perry kerana terlalu mabuk untuk memandu.
Dalam kenyataan tuntutannya, Derek menyifatkan Tyler sebagai individu berpengaruh di Hollywood yang menggunakan kuasa untuk mengeksploitasi aktor lelaki, khususnya mereka yang dianggap mudah terpengaruh dan bergantung kepadanya untuk peluang kerjaya.
“Selama bertahun-tahun, Tyler menggunakan pengaruh untuk menyalah guna kuasa, menekan, menyiksa dan melakukan serangan seksual terhadap pekerja serta pelakon yang terdedah,” menurut tuntutan tersebut.
BACA JUGA: Naim Daniel Mengaku Tidak Bersalah, Peguam Minta Jangan Buat Spekulasi
Lebih mengejutkan, beliau turut mendakwa pengarah terkenal itu turut membuat gangguan secara fizikal ketika di set penggambaran. Antaranya termasuk meraba serta menghimpitnya ke dinding dalam treler lokasi penggambaran siri The Oval.
Peguam Tyler, Matthew Boyd bagaimanapun menafikan semua tuduhan dan menyifatkan ia sebagai cubaan mencemarkan reputasi kliennya melalui rancangan penipuan.
“Tyler tidak akan goyah dan kami yakin dakwaan ini tidak berasas serta akan ditolak oleh mahkamah,” katanya.
Derek turut mendakwa selepas menolak tawaran kembali berlakon dengan bayaran AS$6,000 satu episod, beliau telah diugut akan melanggar kontrak jika mendedahkan sebab sebenar penolakannya kepada staf produksi.
Tyler, 55, yang terkenal dengan siri seperti Sistas, Ruthless dan filem Diary of a Mad Black Woman, juga pernah muncul dalam filem-filem box office termasuk Gone Girl, Star Trek dan Don’t Look Up.
Beliau sebelum ini menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Emmy dan Anugerah Khas Oscar sebagai menghargai sumbangannya dalam industri hiburan.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI