Sempena meraikan kedatangan bulan Ramadan dan Syawal tahun ini, saluran TV AlHijrah bakal menyajikan pelbagai program menarik khusus buat penonton.
Pengerusi TV AlHijrah, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, tahun ini pihaknya mengangkat tema Andai Ini Ramadan Terakhir dan Andai Ini Syawal Terakhir bagi mengajak para penonton menghayati Ramadan dan Syawal sepanjang tempoh dua bulan mendatang.
“TV AlHijrah telah menyediakan pelbagai program menarik bagi memenuhi ruang rohani penonton Ramadan dan Syawal akan datang.
“Kesemua program ini telah disusun rapi dan teliti agar objektif untuk mendidik jiwa, menghiburkan dan memberi pengajaran dapat dicapai sepenuhnya,” jelasnya.
Tambah Hussamuddin lagi, kempen Andai Ini Ramadan Terakhir dan Andai ini Syawal Terakhir turut didokong tiga inisiatif utama stesen.
Pertama adalah penerbitan dan penyiaran 24 rancangan baru dan istimewa genre dokumentari, rancangan kanak-kanak, komedi, masakan, kerohanian serta filem.
Bagi inisiatif kedua pula adalah inisiatif platform digital TV AlHijrah dan ketiga merupakan program tanggung jawab sosial korporat (CSR) iaitu Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah.
“Saya menyeru agar semua yang hadir pada hari ini untuk sama-sama menyampaikan pesanan pada kaum keluarga dan sahabat handai agar terus menonton program Ramadan dan Syawal 1442H TV AlHijrah.
“Sama-sama kita jadikan stesen ini sebagai stesen pilihan nombor satu seisi keluarga serta ladang ilmu yang mampu menjadi bekalan kita di akhirat kelak andainya ini adalah Ramadan dan Syawal terakhir kita semua,” katanya lagi.
Antara program-program menarik sempena Ramadan di TV AlHijrah termasuk Haflah yang disiarkan setiap Khamis & Jumaat, pukul 10 malam, Omar & Hana (Isnin hingga Sabtu pukul 11.30 pagi – bermula 12 April) dan CAMCA Edisi Ramadan (10 dan 12 April pukul 6.30 petang).
Manakala program Ihya Ramadan pula akan bersiaran bermula 13 April depan setiap Isnin hingga Ahad, jam 7.00 petang serta E-Kaunter Netizen (Ahad pukul 7.30 malam – bermula 18 April).
Tidak hanya itu, AlHijrah juga menyajikan program lain seperti Hijrah Berselawat, Drama Andai Ini Ramadan, Sebuah Kehidupan, Ittabiouni, Al-Farabi dan My #HadithTime yang telah pun disiarkan sejak 1 April lalu.
Bagi program menarik sempena Syawal pula adalah Camca Edisi Syawal yang akan bersiaran pada 13 Mei pukul 6.30 petang, Hijrah Berselawat (12 Mei pukul 9.00 malam), Tau Tau Dah Raya (12 Mei pukul 10.00 malam), Raya, Raya Juga (13 Mei pukul 9.00 malam), Bioskop Hijrah – Hafalan Shalat Delisa (13 Mei pukul 10.00 malam), Haflah Istimewa Syawal (14 Mei pukul 9.00 malam) dan Bioskop Hijrah – Wanita Berkalung Sarban (14 Mei pukul 10 malam).
Lebih menarik, TV AlHijrah bakal menyiarkan telefilem berjudul Bebenang PKP Anis yang mengisahkan kehadiran wabak Covid-19 membawa hikmah yang amat besar buat Anis Kemboja.
Telefilem ini dibintangi oleh Lisdawati dan Syafie Naswip bakal ditayangkan pada 15 Mei jam 9 malam.
Selain itu, telefilem Bapa Posa Anak Raya (16 Mei pukul 9.00 malam), Gema Haflah Istimewa Syawal (22 Mei pukul 9.00 malam) dan Dokumentari Sudirman Chow Kit Road (16 Mei pukul 6.00 petang) juga menjadi antara sajian yang perlu ditonton sepanjang Syawal.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI