Penyanyi To’ki memohon maaf kepada semua andai ada yang tersinggung dengan tindakannya memegang anjing seperti yang tersiar di Facebook miliknya, baru-baru ini.

To’ki, 53, atau nama sebenarnya Mohd Zaki Mansur yang juga penyanyi era 90-an itu menerusi Harian Metro berkata, dia berterima kasih atas teguran yang diberikan terhadapnya.

“Saya mohon maaf dan menyusun 10 jari kepada semua. Isu sentuh anjing ini usahlah dipanjangkan sehingga kita seolah-olah duduk dalam tempurung sebagai Islam yang hak, Islam yang batil dan Islam keturunan.

“Ya memang boleh menjatuhkan apa-apa dosa, pahala dan sebagainya. Tapi kita yang memegang al-Quran secara hakikat, memegang al-Quran dan kita memahami al-Quran, tidak ada pun salah.

“Anjing yang saya pegang beberapa hari lalu adalah anjing untuk memburu. Spesis anjing untuk pergi berperang,” katanya seperti yang dipetik.

Menurutnya lagi, ketika membesar di kampung, dia melihat kanak-kanak Melayu sering membaling batu kepada anjing.

“Kasihan pada anjing. Tak boleh buat begitu sebenarnya kerana anjing juga makhluk Allah. Kita kena faham, dari sudut syariat pun tiada masalah untuk saya pegang anjing itu.

“Saya tidak cium sebab masih tahu batas. Tambahan pula saya selalu bercerita perihal Tuhan. Takkan saya tak tahu. 

“Mengikut hadis, pahala akan habis begitu saja apabila bela anjing dalam rumah. Masalahnya anjing ini bukan peliharaan saya,” katanya. 

To’ki berkata, dia sekali lagi memohon maaf, tetapi meminta mereka yang tidak memahami isu itu supaya memahami Islam secara hak.

“Jangan kita menuduh itu ini. Cuba kaji balik sejarah Islam. Jangan jadi jumud dan fahami Islam secara syumul,” katanya.

Terdahulu menerusi akaun miliknya itu, To’ki memuat naik beberapa keping foto bersama isteri di samping seekor anjing sekaligus mendapat reaksi pelbagai warganet.

Sumber, Foto: Harian Metro, Facebook To’Ki

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI