
Bintang baharu, Yad-Z menyifatkan kontroversi yang mengaitkan dirinya dengan penyanyi, Hussain sebagai satu proses pembelajaran dalam perjalanan membina nama dalam industri seni.
Menurut Yad-Z atau nama sebenarnya, Yazid Muaz, sebagai pendatang baharu dia mengakui masih banyak yang perlu dipelajari, termasuk cara berkomunikasi dengan lebih baik di hadapan khalayak agar kata-katanya tidak mudah disalah tafsir.

“Saya dengan Hussain memang tiada apa-apa masalah. Di sebalik tabir, kami sangat akrab. Saya anggap segala yang berlaku ini adalah proses pembelajaran.
“Sebelum ini, saya tidak pernah berhadapan dengan komen-komen netizen. Bila sudah jadi seperti ini, saya akan jadi lebih beringat.
“Saya baru sahaja masuk ke dalam industri seni. Kadang-kadang kita terlepas cakap. Saya tiada niat nak bercakap fasal orang. Ayat saya pula masih tidak teratur.
“Saya bukanlah orang yang pandai bercakap namun, saya cuba buat yang terbaik. Saya tiada niat nak berlagak. Saya cuma percaya bakat yang Allah berikan. Itu sahaja,” katanya kepada MH.
Yad-Z berkata demikian ketika ditemui selepas konsert minggu kedua Big Stage Rocketfuel yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada Ahad.
Dalam pada itu, Yad-Z turut memaklumkan dia ada berbincang secara bersemuka dengan Hussain mengenai isu berkenaan dan penyanyi itu sendiri tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang serius.

“Kami ada bercakap soal ini. Ketika itu, dia sedang makan. Kami hanya tersenyum. Saya bertanya kepada Hussain, dia sudah tahu ke mengenai isu itu?
“Kata Hussain, dia sudah tahu dan anggap perkara itu normal sahaja. Dia minta saya untuk tidak ambil peduli hal itu,” ujarnya.
Keluarga Bimbang, Mahu Elak Kesilapan Berulang
Menurut Yad-Z lagi, kontroversi tersebut turut mengundang kebimbangan dalam kalangan ahli keluarganya yang tidak mahu isu berkenaan memberi kesan terhadap kesihatan mentalnya.

“Kakak saya ada berpesan supaya jangan baca komen-komen netizen. Sebagai adik beradik, mereka mesti ambil berat. Saya ini sudah tiada ibu dan ayah. Kini saya hanya ada abang dan kakak.
“Mereka hanya nak berkongsi sesama adik beradik saya sahaja. Saya terima sahaja apa yang berlaku. Saya akan pastikan hal ini tidak berulang,” kongsinya lagi.
Mengulas persepsi segelintir pihak yang melabelkan dirinya sebagai sombong atau berlagak, Yad-Z menjelaskan tanggapan tersebut mungkin berpunca daripada riak wajahnya, sedangkan dia sebenarnya seorang yang mudah mesra dan gemar bergaul dengan orang lain.

“Muka saya memang nampak macam poyo. Sebenarnya, tidak. Saya ini seorang yang happy go lucky. Walaupun dengan orang asing, saya suka bercakap dan berkongsi ilmu.
Anda mungkin berminat dengan
“Mungkin mimik muka saya nampak sombong dan orang luar tak tahu diri saya yang sebenar. Ketika saya bekerja dahulu, pernah juga dapat respon seperti ini, bila sudah lama kenal, baru mereka tahu perangai saya.
“Mungkin selepas ini saya akan banyakkan senyum,” akhirinya.
Sebelum ini, nama Yad-Z menjadi perhatian netizen susulan kenyataannya yang didakwa kedengaran agak berlagak ketika memberikan respons mengenai penyertaan Hussain sebagai peserta ke-11 Big Stage Rocketfuel pada minggu lalu.
Situasi itu secara tidak langsung mengundang kritikan dan pelbagai persepsi negatif daripada netizen.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

