
Pelakon Diana Danielle memilih untuk tidak terlalu memikirkan segala kritikan yang diterimanya susulan perkongsian foto mesra bersama temannya yang dikenali sebagai Bern di media sosial, baru-baru ini.
Menurut Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, dia enggan membiarkan komen-komen negatif mempengaruhi emosi dan kehidupannya.

“Saya tak sedar pun soal komen-komem itu. Bagi saya, saya cuba untuk tidak terlalu menyerap apa yang orang perkatakan mengenai saya sama ada baik atau buruk.
“Saya hanya jalani hidup saya. Ada juga ternampak hantaran-hantaran itu di Threads tapi saya tidak melihat ke ruangan komen,” katanya kepada MH.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem Terbang, baru-baru ini.
Tambah Diana, dia memahami setiap individu mempunyai pandangan masing-masing, namun sebagai anak seni, fokus utamanya tetap terhadap kerjaya.

“Pada saya, ada orang yang suka dan tak suka saya. Saya sentiasa memberikan energi yang baik kepada orang lain. Sepanjang berada di dalam industri saya sentiasa berusaha fokus pada kerjaya.
“Ada kalanya, saya akan berkongsi sedikit tentang kehidupan peribadi saya. Namun, ada juga segelintir pihak yang tak selesa bila saya buat sebegitu. Jadi, saya faham sahaja,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai kecaman yang diterima, Diana menyifatkan situasi itu tidak memberi impak besar memandangkan dia pernah melalui ujian yang jauh lebih mencabar sebelum ini.

“Saya rasa pengalaman lalu lebih hebat. Kali ini, tiada apa sangat. Pada saya, ini hanyalah cuit-cuit sahaja. Saya sayangkan peminat saya.
“Walaupun ada kalanya mereka rasa tak puas hati dengan saya, saya masih sayangkan mereka. Pada saya, apa yang mereka tegur itu betul.
“Apa yang tak betul, saya buat tak tahu sahaja. Saya akan perbaiki diri saya. Itulah yang saya boleh lakukan sebagai manusia,” kongsinya lagi.
Hubungan Belum Ke Fasa Serius
Ditanya sama ada dia akan lebih berhati-hati dalam membuat perkongsian di media sosial, khususnya yang melibatkan kehidupan peribadi, pelakon filem Evolusi KL Drift itu menegaskan dia tetap mahu menjadi dirinya sendiri.
Bagaimanapun, Diana berkata dia sentiasa terbuka menerima teguran yang membina dan akan terus berusaha memperbaiki diri.

“Saya tidak akan jadi lebih tertutup. Dalam hidup ini, kita tidak akan pernah jadi betul. Sesiapa yang rasa tidak selesa, saya tak boleh buat apa-apa.
“Namun, segala nasihat yang baik, kita akan terima. Dalam hidup, kita tak boleh terlalu angkuh. Kita perbaiki apa yang patut,” katanya lagi.
Anda mungkin berminat dengan
Mengulas lanjut mengenai hubungannya bersama teman istimewa, Diana memaklumkan masih belum ada sebarang perancangan untuk membawa hubungan tersebut ke fasa yang lebih serius.
“Segalanya baik sahaja. Terima kasih kerana bertanya.
“Tiada perkembangan yang saya boleh kongsikan lagi buat masa ini. Untuk bawa hubungan itu ke fasa lebih serius, ia bukanlah pada waktu ini.
“Tak perlulah saya kongsikan apa-apa lagi. Saya juga sudah berjanji, jika saya ada perkembangan tentang perhubungan saya, saya sendiri yang akan bagitahu kepada umum,” akhirinya.
Sebelum ini, Diana menerima kritikan daripada segelintir netizen selepas memuat naik foto di Threads yang memperlihatkan dirinya merangkul lengan teman lelakinya.
Dalam perkembangan lain, Diana turut membintangi filem biopik mengenai legenda rali negara, Karamjit Singh berjudul Terbang, yang dijadualkan menemui penonton di pawagam bermula 17 September depan.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

