
Penyanyi Datuk Aishah meluahkan rasa kecewa apabila sistem penjualan tiket bagi konsert ‘Aishah 40 Chapters Of Love’ didakwa mengalami masalah teknikal sebelum ini, sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat.
Menurut Aishah, situasi itu sedikit sebanyak mengganggu persiapan mentalnya menjelang konsert yang cukup bermakna dalam perjalanan seni selama empat dekad.

“Perkara itu sedikit sebanyak mengganggu persiapan mental saya. Bila hal itu terjadi, saya menangis dahulu. Saya dan pihak penganjur sudah bekerja keras.
“Bagi mereka yang tahu, sudah bertahun-tahun saya berusaha dan mencuba untuk mengadakan konsert sendiri. Namun, saya percaya setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.
“Pada awalnya, saya pun tak tahu bagaimana hal seperti ini boleh terjadi. Rupanya pembelian tiket ini sama seperti membeli barang secara online.
“Mereka boleh letak di dalam cart dahulu. Bila ramai yang letak di dalam cart, tiket itu menjadi ‘sold out’. Mereka yang masuk selepas itu, tidak dapat nak membeli tiket,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Janji Manismu itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media konsert berkenaan yang berlangsung di Restoran Rebung, Kuala Lumpur pada Selasa.

Berikutan itu, pengurusan Aishah membuat keputusan beralih ke platform tempatan tiket lainnya.
Jelas Aishah lagi, dia hanya mengetahui mengenai masalah tersebut selepas dimaklumkan oleh peminat dan rakan terdekat sewaktu tiket baru beberapa jam mula dijual pada 17 April lalu.

“Nasib baik ada rakan dan peminat bagitahu tentang hal ini. Mereka mulanya tumpang gembira kerana ingatkan tiket benar-benar sold out. Rupanya ada masalah sistem.
“Ramai yang berjam-jam cuba membeli tiket tapi gagal. Jadi, saya dan pihak pengurusan duduk berbincang dan kita putuskan untuk tukar platform tiket.
“Semoga penjelasan ini sampai kepada semua peminat yang ingin membeli tiket,” ujarnya lagi.
Mahu Fokus Persiapan Konsert
Aishah bagaimanapun kini mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap persiapan konsert yang bakal berlangsung kurang dua bulan sahaja lagi.

“Kita move on sahajalah. Sepanjang 40 tahun bergelar penyanyi, saya tak suka marah-marah sebelum persembahan. Kalau ada rasa marah, kita tak boleh nak menyanyi.
“Ketika ini, saya perlu menghafal banyak lagu dan akan sibuk dengan promosi. Buat masa sekarang, semoga peminat dapat beralih kepada platform baru ini.
Anda mungkin berminat dengan
“Saya hanya nak fokus pada persembahan. Tempoh dua bulan tidak lama lagi,” kongsinya.
Sementara itu, Aishah turut memaklumkan dirinya enggan terlalu memikirkan mengenai hal yang tidak sepatutnya.

“Dalam hidup, ada yang suka dan tak suka dengan kita. Kadang-kadang saya juga gemar meluahkan apa yang ada di fikirkan bila bercakap dengan orang.
“Bukan semua orang boleh terima kebenaran. Saya tak nak fikir semua ini dahulu,” akhirinya.
Konsert Aishah 40 Chapters Of Love bakal berlangsung pada 4 Julai ini di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

