
Penyanyi dan usahawan popular Indonesia, Ashanty, berjaya menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Sumber Daya Manusia di Universitas Airlangga (UNAIR), Surabaya.
Lebih membanggakan, kejayaan itu diraih selepas beliau mengharungi tempoh pengajian selama tiga tahun setengah termasuk menyiapkan tesis sebagai syarat utama untuk bergelar doktor.
Menariknya, tesis yang dihasilkan Ashanty memberi fokus kepada tajuk “Respons Adaptif Penyanyi Baby Boomers dan Generasi X terhadap Transformasi Digital di Industri Musik Indonesia”, yang mengupas bagaimana penyanyi daripada generasi terdahulu menyesuaikan diri dalam landskap muzik yang semakin didominasi teknologi digital.
Berita gembira tersebut dikongsikan sendiri oleh isteri kepada Anang Hermansyah itu menerusi media sosial sejurus selesai menjalani sidang promosi doktoral yang berlangsung selama dua setengah jam.
“Langkah yang sebelum ini terasa begitu berat, kini bertukar menjadi hela nafas paling lega. Nafas yang sempat tersekat di ruang sidang, akhirnya terlepas bersama kata ‘Lulus’,” tulisnya.
Dalam masa sama, Ashanty turut merakamkan penghargaan kepada barisan penguji atas segala pandangan dan teguran yang diberikan sepanjang sesi tersebut berlangsung.
View this post on Instagram
“Terima kasih untuk para penguji atas semua pertanyaan, masukan dan revisinya. 2.5 jam terasa berat, namun saya gembira dapat melaluinya,” katanya.
Tidak ketinggalan, Ashanty turut menzahirkan rasa terima kasih kepada penyelia dan penyelia bersama yang sentiasa membimbing sepanjang perjalanan akademiknya.
“Terima kasih juga kepada penyelia dan penyelia bersama saya yang sentiasa sabar membimbing, mengarahkan dan menemani setiap proses sehingga saya sampai ke tahap ini.
“Satu lagi langkah menuju ujian terbuka, iaitu peringkat akhir dalam keseluruhan perjalanan saya. Semoga semua proses seterusnya dipermudahkan,” ujarnya lagi.
BACA JUGA: Bekas Pekerja Ashanty Ditahan Polis, Didakwa Terlibat Kes Penggelapan Dana Syarikat
Anda mungkin berminat dengan
Sepanjang tempoh pengajian, Ashanty berulang-alik antara Jakarta dan Surabaya demi memastikan komitmennya terhadap akademik dapat diteruskan sebaik mungkin.
Malah, beliau turut menafikan tanggapan bahawa status selebriti memudahkan laluan pengajiannya. Sebaliknya, Ashanty menegaskan bahawa pengajian di universiti awam tetap menuntut standard tinggi serta disiplin yang sama seperti pelajar lain.
Pencapaian ini sekali gus membuktikan bahawa kesibukan sebagai figura terkenal bukan penghalang untuk mengejar ilmu, malah menjadi inspirasi buat ramai untuk terus berusaha tanpa mengenal batas.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

