
Pelakon dan usahawan, Intan Najuwa, mendedahkan dirinya pernah berhadapan dengan beberapa keinginan luar biasa serta mengidam perkara-perkara pelik ketika hamil.
Perkongsian itu dibuat menerusi hantaran di Instagram Stories miliknya.
Menurut Intan, ada satu ketika dia terlalu teringin untuk minum pencuci pinggan berperisa lemon kerana tertarik dengan bau segarnya yang kuat.
“Saya pernah mengidam nak makan pencuci pinggan perisa lemon. Sebab suka bau lemon tu yang fresh sangat sampai rasa macam nak minum.
“Tapi masih selamat belum pernah nak minum. Teringin sahaja. Jadi, ambil bau sahaja,” tulisnya.
Bukan itu sahaja, Intan turut memaklumkan bahawa dia sering meluangkan masa di dalam bilik kasut kerana mengidam bau kulit dan kotak kasut baru.
“Setiap jam kena cari bau kotak kasut baru atau bau kulit kasut. Memang gila, setiap jam saya duduk dalam bilik kasut,” kongsinya.
Selain itu, dia juga mempunyai tabiat mengunyah ais batu hampir sepanjang masa disebabkan keinginan yang kuat terhadap sesuatu yang rangup dan sejuk.
“Kunyah ais batu 24 jam sebab sentiasa rasa nak gigit benda rangup dan sejuk. Semuanya baik-baik sahaja. Saya buat pemeriksaan. Tiada anemia atau kekurangan zat besi.
“Cuma mengidam benda rangup dan sejuk tak henti,” dedahnya lagi.
Walau bagaimanapun, Intan menegaskan bahawa semua keinginan pelik tersebut masih berada dalam keadaan terkawal.
Untuk rekod, Intan mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Azraf pada Ogos 2023 dan pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Imane Lunara, pada 15 Disember 2024. Pada Februari lalu, Intan turut berkongsi khabar gembira apabila kini sedang hamil anak kedua.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Intan Najuwa