
Selepas berjaya mencipta fenomena menerusi drama Khianat Yang Terpilih, nama pelakon Ikmal Amry kini kian disebut antara hero berbakat besar dan seharusnya diberikan peranan yang lebih mencabar selepas ini.
Menurut Ikmal, sepanjang bergelar pelakon, dia sebenarnya tidak pernah memikirkan soal populariti kerana dia percaya rezeki akan datang tepat pada waktunya.

“Sejak pertama kali saya berlakon, saya tak pernah terfikir untuk menaikkan nama. Apa sahaja projek yang saya terlibat, saya tak pernah terfikir sama ada ia mampu menaikkan nama atau tidak.
“Kalau saya fikir fasal nama, saya tidak akan berkahwin. Dahulu orang kata, kalau berkahwin, nama kita akan jatuh. Saya tolak tepi kata-kata itu.
“Saya percaya rezeki kita semua sudah tertulis walau baagaimanapun jalan hidup kita. Kalau Allah kata nama kita akan naik, ia tetap akan berlaku juga.
“Nama saya tidaklah naik terlalu mencanak tapi momentum itu tetap ada. Saya tak hilang dan tenggelam,” katanya kepada MH.
Bapa kepada dua orang cahaya mata itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka filem Tarung: Unforgiven, baru-baru ini.
Terharu Terima Peminat Baharu
Dalam masa sama, Ikmal akui teruja melihat sokongan yang ditunjukkan daripada kalangan peminat yang baru mengenali dirinya lebih-lebih lagi selepas bergandingan bersama aktres, Amyra Rosli.

“Mungkin mereka adalah penyokong yang baru mengenali saya. Saya sudah beberapa kali memainkan watak utama. Mungkin lebih ramai yang baru nampak sekarang.
“Kebetulan juga saya dapat berlakon dengan idola saya iaitu Amyra Rosly. Dia punyai peminat yang ramai. Saya tumpang sekali rezeki Amyra.
“Jika dia tidak terlibat di dalam drama ini, kita pun tak tahu bagaimana sambutannya,” katanya.
Mengulas mengenai penglibatannya di dalam filem Tarung: Unforgiven, Ikmal akui bersyukur apabila impiannya untuk berlakon di dalam filem aksi akhirnya menjadi kenyataan.

“Selepas beberapa tahun, impian saya nak berlakon filem aksi akhirnya menjadi kenyataan. Mungkin ini adalah hasil daripada doa ibu, isteri dan diri saya sendiri.
“Saya banyak kali bercakap dengan mereka, tolong doakan saya rezeki saya berlakon filem aksi. Usaha saya selama ini tidak pernah mengkhianati hasil.
“Saya berusaha bina badan yang cantik bukanlah menunjuk-nunjuk tapi nak bagitahu yang saya juga mampu berlakon filem aksi,” kongsinya.
Anda mungkin berminat dengan
Malah, Ikmal turut mendedahkan langsung tidak memikirkan soal bayaran bila mendapat tawaran daripada penerbit yang juga rakan pelakon, Aedy Ashraf.

“Bila Aedy bagitahu yang dia nak buat filem, saya sudah maklumkan, apa sahaja peranan yang ditawarkan, saya akan cuba bantu dia.
“Bila dia tawarkan saya watak, saya terus bersetuju. Saya tak bincang fasal harga dan jadual. Saya ikut sahaja untuk sokong filem pertama terbitannya ini,” akhirinya.
Tarung: Unforgiven bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

