
Pengalaman menghadiri sebuah program yang menghimpunkan masyarakat India di Madrasah India Kampung Pandan, baru-baru ini memberi perspektif berbeza buat pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz.
Buat pertama kali, PU Riz berhadapan dengan khalayak yang keseluruhannya terdiri daripada masyarakat India, sekali gus membuka ruang buatnya berinteraksi dan berkongsi ilmu dengan komuniti daripada latar belakang berbeza.
Menurut PU Riz, situasi berkenaan berbeza daripada kebiasaan kerana program ceramah yang dihadirinya sebelum ini lazimnya disertai masyarakat Melayu.
“Biasa ‘crowd’ yang dengar ceramah saya orang Melayu. Tapi buat kali pertama yang semuanya, saya ulang, semuanya bangsa India,” katanya.

Baca Artikel Lain;
Kagum Usaha Perkasa Masyarakat
Menurut PU Riz, apa yang lebih menarik perhatiannya adalah semangat masyarakat yang hadir untuk mendapatkan ilmu, selain usaha memperkukuh pendidikan dan taraf kehidupan, terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40).
Dalam pada itu, PU Riz melahirkan rasa bangga terhadap usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memperkasa masyarakat menerusi pelbagai bentuk bantuan, termasuk sumbangan atau geran bagi menyokong program kemasyarakatan, pendidikan, kemahiran dan peluang pekerjaan.
Katanya, inisiatif seumpama itu penting bagi memastikan peluang mendapatkan ilmu, meningkatkan kemahiran serta membina kehidupan lebih baik dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum.
Untuk rekod, bantuan KESUMA bukan hanya disasarkan kepada masyarakat India, sebaliknya turut melibatkan komuniti lain mengikut keperluan dan bentuk program yang dilaksanakan.
Sebelum ini, kementerian berkenaan turut menyalurkan geran kepada syarikat sama bagi pelaksanaan program membabitkan ceramah serta peluang pekerjaan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, yang disertai sekitar 60 hingga 70 peserta.
Anda mungkin berminat dengan

Harap Lebih Ramai Dapat Akses Ilmu
PU Riz berharap usaha berterusan seperti itu dapat diperluaskan supaya lebih ramai masyarakat, khususnya golongan B40, memperoleh akses kepada pendidikan, kemahiran dan peluang yang mampu mengubah kehidupan mereka.
“Kita doakan semua, tidak kira bangsa, khususnya di negara ini memperoleh satu kekuatan ilmu yang tertinggi, insya-Allah,” katanya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

