
Dunia hiburan serantau dikejutkan dengan pemergian penyanyi legenda Indonesia, Emilia Contessa, yang meninggal dunia pada Isnin, 27 Januari 2025. Penyanyi bersuara emas ini dikenali dengan deretan lagu hits yang kekal di hati peminat sejak era 1970-an.
Berita sedih ini diumumkan oleh pemerhati muzik terkenal, Stanley Tulung, menerusi laman Instagram miliknya.
“Innalillahi wainnailaihi rojiun. Selamat jalan Legenda Muzik Indonesia, Emilia Contessa. Semoga perjalananmu menuju keabadian yang sejati dipermudahkan,” tulis Stanley dalam ucapan penuh emosi.
Pemilik nama sebenar Nur Indah Citra Sukma Munsyi ini mula menceburi industri seni sebagai penyanyi dengan nama pentas Emilia Hasan sebelum menukar nama kepada Emilia Contessa.
Nama baharunya itu terus melonjakkan karier beliau, hingga menjadi antara penyanyi paling popular pada zamannya.
Beberapa lagu malar segar seperti Flamboyan, Layu Sebelum Berkembang, Biarlah Sendiri, Penasaran dan Angin Malam menjadikan Emilia ikon muzik yang sukar ditandingi.
Penampilan Emilia yang memukau turut mendapat perhatian antarabangsa apabila majalah Asia Week menggelarnya sebagai “Singa Pentas Asia”.
Tidak hanya cemerlang dalam muzik, Emilia juga berbakat dalam bidang lakonan. Beberapa filem popular yang dibintanginya termasuk Brandal-Brandal Metropolitan (1971), Ratapan Anak Tiri (1973), dan Calon Sarjana (1974).
Dalam laporan media tempatan Indonesia, Emilia dimasukkan ke hospital pada waktu tengah hari Isnin selepas mengadu sesak nafas.
Pakar jantung yang merawatnya, Dr. Nelly Mulyaningsih, mendapati beliau mengalami kegagalan jantung akut dan telah memberikan rawatan kecemasan. Walaupun keadaan dirinya kemudian stabil, Emilia tidak dapat diselamatkan ketika proses pemindahan ke ICU.
BACA JUGA: Emilia Contessa Miliki Sejarah Penyakit Diabetes & Darah Tinggi Sebelum Disahkan Meninggal Dunia
Pemergian Emilia Contessa pastinya meninggalkan kesan yang mendalam buat peminat dan industri hiburan. Legenda ini akan terus dikenang sebagai ikon muzik yang suaranya masih segar di ingatan pencinta seni.
Emilia memiliki empat orang cahaya mata dari tiga perkahwinan berbeza. Salah seorang anaknya, Denada Elizabeth Anggia Ayu Tambunan, mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI