
Pelakon dan pelukis karikatur terkenal Korea, Jung Eun-hye, yang sebelum ini mencuri perhatian menerusi drama popular Our Blues, bakal melangkah ke alam perkahwinan pada Mei ini!
Jung, 34, yang juga seorang individu dengan sindrom Down, mendedahkan berita gembira itu menerusi saluran YouTube OPQR. Dia berkongsi bahawa tunangnya, Jo Young-nam, seorang individu kurang upaya intelektual, adalah insan yang berjaya membuka pintu hatinya.
Menurut Jung, perkenalan mereka bermula di Pusat Seni Amazing Outsider, tempat mereka bekerja. Jo dikatakan tertarik dengannya sejak pertemuan pertama mereka pada Februari tahun lalu.
Cinta mula berputik dan tidak lama kemudian, mereka mengikat hubungan sebagai pasangan kekasih.

“Saya dah jumpa seseorang yang saya ingin kahwini. Tapi, bolehkah individu dengan ketidakupayaan perkembangan hidup normal seperti orang lain?” soal Jung ketika berkongsi kisah cinta mereka.
Detik paling membahagiakan Jung adalah saat Jo melamarnya! Dia tidak dapat menyembunyikan rasa bahagianya ketika berbicara mengenai tunangnya.
“Dia seorang yang sangat ceria dan selalu buat saya tersenyum. Itu memberi saya kekuatan dan semangat dalam hidup. Terima kasih kepadanya, saya rasa lebih bertenaga,” luahnya penuh teruja.
Sebelum ini, Jung pernah berkongsi tentang cabaran hidup sebagai penghidap sindrom Down, termasuk perasaan sunyi yang pernah membelenggunya. Namun, dia berjaya menemui cara untuk berhubung dengan dunia menerusi seni lukisan.
Bakat luar biasa Jung turut mendapat pengiktirafan apabila dia mengadakan pameran solo pertamanya di Seoul pada tahun 2023.

Junge Eun-hye mula dikenali ramai apabila membintangi drama bersiri Our Blues di samping pelakon terkenal Han Ji-min .
Dalam drama tersebut dia memegang karakter sebagai Lee Young-hui yang merupakan kembar kepada watak Lee Young-ok yang dipegang Han Ji-min
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI