Berita

“Orang Lelaki Ini, Mereka Akan Simpan Perasaan,” – Banyak Berkorban & Urus Keluarga, Atikah Suhaime Hargai Usaha Keras Suami

Share

Pelakon Datin Atikah Suhaime menzahirkan penghargaan buat suaminya, Datuk Lokman Teh, yang disifatkan sebagai suami dan bapa yang banyak berkorban demi keluarga serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads, pelakon filem My Stupid Boss itu turut menitipkan kata-kata semangat buat suaminya agar tidak terlalu berkeras terhadap diri sendiri.

Dalam masa sama, Atikah meluahkan rasa bangga terhadap segala usaha yang dilakukan Lokman selama ini.

“Wahai suami, awak sudah jalankan tanggungjawab dengan sangat baik. Saya dan Mulan sangat bangga dengan awak. Tolong jangan terlalu berkeras dengan diri sendiri,” tulisnya.

Dedah Lelaki Cenderung Pendam Perasaan

Menurut Atikah, kebanyakan lelaki memilih untuk memendam perasaan dan enggan berkongsi beban yang ditanggung kerana mahu sentiasa kelihatan kuat di hadapan keluarga.

“Orang lelaki ini, meraka akan simpan perasaan dan selagi boleh nak tunjuk kuat.

“Namun, saya terkejut bila tengok rupa-rupanya suami yang uruskan macam-macam hal seorang diri,” ujarnya.

Akui Tidak Mampu Galas Beban Seperti Suami

Dalam pada itu, Atikah mengakui dirinya mungkin tidak mampu menguruskan segala tanggungjawab yang dipikul suaminya seorang diri kerana bimbang berdepan risiko burnout.

“Kalau saya, mungkin sudah burnout. Menangis dan marah-marah orang. Saya sayang awak. Pada isteri-isteri, jangan lupa peluk cium suami dan ucap terima kasih hari ini,” akhirinya.

Untuk rekod, Atikah dan Lokman mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2024.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Lyla Mulan Teh.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Threads Atikah Suhaime

Published by
Aizam Manaf