
Penyanyi dan komposer, Noh Salleh tidak mahu mengambil peduli kritikan segelintir pihak yang menyifatkan muzik video (MV) lagu Sang Penikam 2026, duet bersama Aina Abdul, yang didakwa memaparkan visual ‘seram’ dan tidak sesuai untuk tontonan umum.
Menurut Noh, setiap karya yang dihasilkannya bukan bertujuan untuk memuaskan hati semua orang, sebaliknya menjadi ruang untuk dia mengekspresikan kreativiti serta identiti seni yang diyakininya.

“Saya tak kisah apa orang nak fikir. Seni kami adalah untuk kami dan kami buat bukan untuk menyenangkan hati semua orang. Kalau nak puaskan hati semua orang, memang tak bergeraklah.
“Terserahlah apa orang nak kata. Mungkin sifat ‘rock n roll’ ini yang ada pada saya dan Aina. Saya pernah tanya Aina, tak boring ke masuk AJL?
“Di mata seorang karyawan seni, dia kata dia seronok. Dia berpeluang untuk mereka baju, pentas dan macam-macam lagi. Sebelum ini, saya tiada pandangan seperti itu,” katanya kepada MH.
Vokalis kumpulan Hujan itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Borneo Rising yang berlangsung di Astro Bukit Jalil pada Selasa.
Mengulas mengenai konsep MV berkenaan, Noh menjelaskan visual yang dipaparkan sebenarnya merupakan gambaran yang telah lama bermain dalam fikirannya, malah sebelum lagu itu dihasilkan kira-kira 13 tahun lalu.

“Muzik video itu adalah visual bayangan saya sebelum menulis lagu itu. Saya dan pengarah duduk berbincang untuk memikirkan bagaimana kita boleh mengindahkan lagu yang sangat istimewa ini dan diabadikan di dalam format muzik video.
“Kemudian, pengarah muda ini bagitahu, dia mahu merialisasikan impian dan imaginasi saya itu. Di mata orang mungkin nampak seperti mengerikan dan di luar kotak.
“Di mata Noh Salleh, ini impian menjadi realiti. Saya sangat gembira. Bila pertama kali melihat hasil akhir muzik video itu, saya menangis,” ujarnya lagi.
Bakal Rakam Lagu Baharu Bersama Aina Abdul
Dalam masa sama, Noh mengakui teruja apabila berpeluang merakam semula lagu tersebut bersama Aina Abdul yang disifatkannya sebagai anak seni dengan bakat dan aura luar biasa.
Menurutnya, idea untuk menggabungkan mereka berdua sudah tercetus sejak tiga tahun lalu.

“Idea untuk menggabungkan saya bersama Aina terjadi pada tiga tahun lepas. Tuhan mengatur masa yang sangat sesuai.
“Tiga tahun lalu, kami bertemu dan Aina bagitahu, dia amat meminati karya saya terutamanya Sang Penikam.
“Saya pun terkejut, dalam banyak-banyak lagu, kenapa lagu slow ini? Dia menyanyi depan saya. Kemudian bila saya buat konsert solo di Dewan Filharmonik Petronas, saya ajak dia berduet dan dia setuju.
“Ad-lib yang anda dengar dalam lagu itu, terjadi sekejap sahaja. Itulah magis Aina Abdul. Dalam ramai-ramai artis yang saya berduet, Aina paling susah,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Noh turut berkongsi berita gembira apabila memaklumkan dia dan Aina bakal memasuki studio rakaman untuk menghasilkan sebuah lagu baharu pada minggu hadapan.

Anda mungkin berminat dengan
“Ini adalah kejutan. Minggu hadapan kami akan mulakan rakaman sebuah lagu baharu. Bagaimana saya melihat lagu ini, ia seperti kesinambungan Sang Penikam.
“Lagu itu ditulis oleh Aina dan produsernya pula adalah Vega Antares. Beliau merupakan produser untuk album EP solo terbaharu saya.
“Kini, Aina pula bertemu dengan beliau. Kami bukan nak menidakkan komposer tempatan cuma bila bekerja dengan orang luar, kami dapat nuansa baharu,” akhirinya.
Dalam perkembangan lain, Noh bakal menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap bersama Marsha Milan dan Shila Amzah dalam program realiti terbaharu, Borneo Rising.

Borneo Rising yang menggandingkan Zizan Razak bersama Sherry AlHadad sebagai pengacara itu bakal bersiaran bermula 6 September ini di saluran Astro Ria dan sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

